Saturday, January 17, 2009

Lawatan ke Land’s End, Cornwall dan London



Teman-temanku sekelian, setinggi kesyukuran serta segala kepujian yang selayaknya bagi Allah s.w.t. Kita perbanyakannya, kerana secara sedar atau pun tidak, kita semua telah diberikan nikmat yang tidak terhingga oleh Allah Azawajal. Seperti yang aku pernah sebutkan terdahulu, manfaat melancong dan kesempatan peluang cuti yang panjang sempena Christmas Eve di U.K. ini, membawa anak-anak berjalan-jalan dan bermain-main dengan mereka perlu dirancang dengan baik. Ianya juga satu pendedahan dan pengalaman yang amat berharga apabila mereka dewasa nanti. Sekembalinya kami dari Belgium, kami dapat berehat selama empat hari dan perancangan seperti yang telahpun ditetapkan dua bulan yang lalu membawa kami sekali lagi ke hujung England iaitu Land’s End, Sennen, Cornwall dan kota London untuk kali yang keempat. Kami ke London untuk membawa dua keluarga iaitu dari Hull dan Stoke on Trent, Staffordshire yang baru tiga bulan sampai di U.K. dan mereka belum pernah melawat London. Kami menjadi teman pengiring atau pemandu pelancong buat seketika. Dari Hull, kami empat keluarga dengan lima buah kereta dan setibanya di M5 di Strensham Road Chet Service Station, kami bertemu dengan dua keluarga dari Stoke on Trent. Perjalanan kali ini adalah sejauh 1,040 km. Perjalanan kali ini dianggap menarik kerana inilah kali pertama kami dapat memandu kereta terus ke tengah-tengah kota London, apabila cuti Krismas ini membenarkan memandu tanpa ‘Congestion Fee’. Congestion Charge Zone (CCZ) meliputi central London dan West London. Bayaran dikenakan £8.00 sehari di antara jam 7.00 pagi-6.00 petang. Denda akan dikenakan di antara £60.00 hingga £180.00 kepada pesalah trafik. Ikuti perjalanan ini seterusnya.

Kami bertolak hari Rabu, 24 Disember 2008 jam 7.30 pagi dan perjalanan hari ini hanya terus ke penginapan kami di Travelodge, Plymouth. Plymouth disebut sebagai bandar ‘spirit of discovery’. Sesiapa yang rasa boleh memandu terus tanpa berhenti, pemandu tersebut boleh sampai enam jam. Aku seperti biasa memandu kereta sewa, sebab anak lima orang dan anak buah seorang memerlukan sebuah lagi kereta. Teman-temanku yang lain, selesa memandu kereta masing-masing. Aku menyewa kereta untuk 6 hari dan perlu membayar £63.76. Kali ini aku pandu kereta kecil, macam kereta Perodua Viva, Chevrolet Matiz, namanya. Memandangkan jarak masa perjalanan agak jauh, kami bersepakat di ‘Highway’, kami perlu memandu agak lama dan kami cuba untuk memandu berapa lama yang boleh, namun kami dapat bertahan selama tiga jam sahaja tanpa berhenti. Apabila kami berkonvoi ramai, tentunya beberapa perkara perlu diambil perhatian.Pertamanya, kami melantik seorang ketua dan Azli, salah seorang ‘student postgraduate’, mengetuai perjalanan ini. Teman aku inipun, orang jenis ‘confident’dan dengan bantuan anak lelakinya serta’ navigator’, kami dapat sampai ke destinasi dengan selamat. Selepas kami mengisi minyak di Strensham Road Chet Service Station di M5, kami berpecah kepada dua kumpulan. Anakku Fathul bersama dengan teman-teman dari Stoke dalam satu kumpulan dan aku dengan tiga keluarga yang lain, dalam, kumpulan yang kedua. Kami tetapkan siapa yang jalan dahulu dan kemudian. Keduanya, tempat berhenti yang difikirkan sesuai dan mendesak untuk membersihkan diri, makan dan solat. Setiap kereta mesti sekurang-kurangnya ada seorang yang mempunyai ‘mobile phone’ untuk memudahkan perhubungan terutama ketika berlaku kecemasan atau perkara-perkara tertentu. Kami sampai di hotel pada jam 4.30 petang, sudahpun masuk waktu maghrib. Setelah kami selesai mencari tempat ‘parking’ berbayar dan membersihkan diri, dapatlah kami, berkongsi makan dengan lauk pauk yang pelbagai secara bersama-sama dan bersembang-sembang untuk mengurangkan keletihan dan kelaparan.

Apa yang hendak aku kongsikan bersama kali ini ialah pertamanya, kedudukan harga minyak di setiap bandar dan highway yang kami lalui tidak sama. Ini bergantung kepada ‘Duty and Vat’ yang dikenakan oleh kerajaan. Maka, didapati harga unleaded petrol dan diesel adalah berbeza-beza. Sebelum aku memulakan perjalanan setelah mengambil kereta lebih awal pada hari Selasa 23 Disember 2008, aku mengisi minyak petrol di Tesco, Hull, harganya adalah £0.859 dan kesempatan pada pagi yang kami bertolak ke Plymouth aku dapati minyak, apabila keluar sedikit dari Hull, iaitu di North Cave, menghala ke M62, minyak di Shell £0.869, manakala di Total £0.899. Semasa kami berhenti mengisi minyak pertama di M5, di BP, kami perhatikan di BP agak tinggi sedikit daripada syarikat-syarikat yang lain iaitu £0.949. Harga minyak sentiasa turun naik, maka harga minyak di stesen pam minyak bergantung kepada kedudukan harga miyak dunia yang sebenar. Ini bermakna, pada setiap masa, harga akan sentiasa berubah-ubah dengan serta merta atau segera, tanpa menunggu pengumuman yang dibuat oleh kerajaan. Para pemandu juga boleh bebas memilih stesen minyak yang mereka gemari.

Keduanya, di UK tiada tol di setiap lebuhraya melainkan di M6, Birmingham, satu-satunya lebuhraya di U.K. yang dilancarkan pada 9 Disember, 2003 dengan kadar £3.00 sepanjang 27 batu, yang bertujuan asasnya untuk mengelakkan kesesakan di sepanjang jalan yang asalnya, Birmingham Northern Relief Road. Lebuhraya ini diurus oleh Midland Expressway Ltd (MEL). Walau bagaimanapun, jika setengah jalan bukan motorway, maka tol akan dikenakan bagi maksud melalui jambatan seperti di A 15, Humber Bridge, salah satu jambatan gantung, dikenakan tol £2.50 untuk kereta dan A 38, Tamar Bridge £1.00 pada kereta. Semua ‘toll charges’ adalah bergantung kepada ‘major or minor toll routes’ yang ditetapkan dari semasa ke semasa dan turut mengira pandangan umum. Cuba kita perhatikan, berapa banyak rangkaian tol yang ‘menjerat’ pengguna-pengguna jalan raya di Lembah Klang. Inilah lubuk tol dan realitinya, Malaysia adalah negara paling banyak tol. Perjanjian kerajaan dan investors, di antara lain turut menentukan kadar tarif ‘per kilometer’ dengan masa konsesi berpuluh tahun. Mungkin dalam kedudukan ini, pemandu-pemandu di Britain, tidaklah terasa terbeban seperti yang kita alami di Malaysia.

Ketiganya, di sepanjang lebuhraya dan jalan negeri papan-papan tanda peringatan kepada pemandu untuk berwaspada di sepanjang jalan raya sentiasa diletakkan dengan sistematik dan amat jelas kelihatan. Contohnya, “tiredness can kill, take a break, keep your distance, don’t drink and drive and please drive carefully”. Tanda yang mesti berhati-hati adalah ‘speed cameras’ dan van polis yang ‘standby’ di tepi jalan yang dikhaskan untuk polis untuk memerhati gelagat pemandu. Semua ‘speed cameras’ telahpun ditetapkan dan diwartakan. Ini bermakna, hebahan dibuat kepada umum tempat-tempat diletakkan kamera perangkap laju berkenaan. Di Malaysia, polis trafik akan mengintai dan betul-betul merangkap kita sama ada bersembunyi di sebalik tiang atau di dalam longkang mahupun gerai buah-buahan. Negara manakah yang lebih telus dan mendidik para pemandu?

Keempatnya, Pemandu di UK rata-rata memandu dengan penuh sopan dan sepanjang aku di sini amat jarang, pemandu memandu dengan diistilahkan sebagai ‘reckless driver’ dan semacam ”mat rempit”. Motosikal amat jarang kelihatan, mungkin keadaan sejuk melainkan waktu ‘summer’, lebih sedikit, itupun tidaklah seperti di negara kita, motosikal menjadi “raja di jalan raya”. Pemandu sememangnya amat berdisiplin dan mengutamakan semua pengguna jalan raya terutama pejalan kaki dan ‘cyclist’, berbanding dengan pemandu-pemandu Malaysia. Kadar kemalangan jalan raya dan kematian adalah jauh lebih rendah daripada kita. Di sepanjang tahun, kerajaan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan akan mengumumkan laporan, “Road Casualties Great Britain, Annual Report” bagi tatapan umum dan boleh dibeli oleh semua. Laporan ini akan menghurai, menggambarkan dan menganalisa data-data dan statistik dan langkah-langkah yang patut diambil sebagai pencegahan. Sesiapa yang mempunyai lesen memandu, hanya laku untuk tempoh setahun, melainkan mereka yang mempunyai lesen dari Hong Kong boleh ditukarkan terus kepada lesen U.K. Kerajaan British hanya mengiktiraf beberapa negara sahaja, yang membolehkan lesen mereka itu ditukarkan kepada lesen UK termasuklah Hong Kong dan negara-negara yang didapati kadar kemalangannya agak rendah, seperti Namibia, sebuah negara di benua Afrika dan Singapura. Malaysia tidak masuk dalam kumpulan tersebut. Fikirkanlah sendiri bagaimana cara kita memandu dan mungkin ada kaitan dengan masa, bayaran, sukatan bahkan cara pengendalian pusat, kaedah pengujian dan kursus memandu di negara kita. Ini bermakna, jika kita hendak setara sekurang-kurangnya dengan Singapura ataupun Korea Selatan, barangkali kita perlu belajar dan menggunakan sukatan memandu negara-negara ini. Aku difahamkan, ada seorang kenalanku di Angkatan Tentera Malaysia, beliau belajar dan diuji memandu pelbagai trak dan saiz serta diuji pelbagai lapangan seperti pendakian yang tinggi dan setelah dipastikan mahir, barulah disahkan lulus dan boleh memandu kenderaan tentera. Beliau sehingga mempersoalkan, mengapakah sekarang anak-anak muda yang belajar memandu kereta diuji dengan Kancil dan mudah lulus?

Hari Khamis, 25 Disember 2008, setelah bersarapan kamipun bertolak ke Land’s End, Sennen, Cornwall. Pada pagi itu, kira-kira jam 8.00 pagi kami mencari lokasi yang sesuai untuk mengambil gambar di sekitar Plymouth dan meneruskan perjalanan ke Land’s End iaitu 9 batu dari barat Penzance, yang menghadap benua Amerika Utara. Kami sampai di sana kira-kira jam 12.30 tengahari. Memandangkan hari tersebut hari cuti, maka tidak ramailah pengunjung dan tempat-tempat permainan kanak-kanak semuanya ditutup. Dapatlah kami melihat suasana sekitar hujung England dan mengambil gambar masing-masing dan beramai-ramai. Selepas hampir sejam kami di sini, kamipun terus bertolak ke London melalui jalan pantai dan dapat singgah di sebuah tempat rekreasi di tepi pantai dan sebuah pantai di dalam perjalanan tersebut. Kami tidaklah dapat singgah lama di situ, setelah solat dan ambil gambar, kamipun meneruskan perjalanan segera. Kami melalui jalan negeri yang dianggap berliku-liku, tetapi tidaklah banyak berselekoh tajam macam di tempat kita dan kelajuan maksimum yang dibenarkan ialah 60 batu sejam. Kami tidak dapat cepat sampai apabila salah seorang kereta rakan kami, Uncle Z terkandas akibat tayar sebelah kiri hadapan pecah dan terpaksalah kami menukarkan tayar dan menunggu mekanik RAC selesai menyediakan ‘paper-work’. Hampir sejam juga selesai menungu dan kami dapat bergerak semula pada jam 5.30 petang. (hari sudahpun gelap). Maklumlah melalui jalan yang gelap gulita, kami terpaksa memandu dengan penuh waspada dan cermat dan kerap berhenti di ‘service station’ dan akhirnya, sampai di hotel kami di Travelodge Illford, sebuah pekan di pinggir kota London. Setiap daripada kami, sememangnya ada mengambil ‘breakdown membership’ tersebut seperti AAM di Malaysia bagi tujuan kecemasan. Kami sampai jam 11.35 malam dan masing-masing mengurus keluarga sendiri. Sebenarnya, apabila kami hendak turun ke London, di Travelodge, Illford inilah tempat penginapan kami yang biasa dan paling memikat hati kami. Kami menginap untuk dua malam di sini dengan harga £19.00 semalam, harga promosi, sama seperti kami bermalam di Plymouth. Kalau tiada harga promosi, harganya ialah £50.00 semalam. Bukan sahaja hotel ini pada kami dianggap paling murah bahkan agak selesa untuk keluarga, apatah lagi pada kami yang rasa hendak mengurangkan kos perbelanjaan tentunya amat sesuai. Tambahan pula di sekitar bandar Illford inipun makanan halal amat mudah diperolehi kerana terdapat kedai-kedai makan ‘take away muslims’ dan harganya bolehlah dikatakan munasabah dan mampu dibayar, contohnya, semangkuk kecil kari daging kambing £1.50 dan seekor ayam panggang, £6.00. Semuanya ada, termasuk ayam tandori seperti terasa duduk di Penang. Apa yang hendak dikongsikan bersama juga di dalam perjalanan ini ialah berjalan dalam waktu malam dengan melalui jalan bukan sepenuhnya lebuhraya terasa teramat meletihkan. Perjalanan dari Sennen ke Illford tersebut mengambil masa 6 jam, jika ‘non stop’ dan kami mengambil masa hampir 9 jam untuk sampai. Ada teman-teman termasuk aku sendiri kadang-kadang terhoyong-hayang dan termasuk ke jalan orang lain. Ini sebenarnya amat bahaya, sehingga ada teman-teman yang meminta berpatah balik untuk mengambil lebuhraya, walaupun agak jauh sedikit dan tidaklah amat memenatkan kerana jalannya lebar dan satu hala. Namun, Zam, seorang rakan dari Stoke yang ‘lead’ kali ini, meminta kami meneruskan jalan yang sama. Dalam perjalanan tersebut sentiasa kami banyak ‘call dan sms’ kerana ada setengah teman yang tertinggal agak jauh ke belakang dan memperlahankan keretanya kerana agak keletihan. Kami sentiasa ‘alert’ kerana takut tersesat dan tertinggal. Ini di negara orang dan bukannya di negara sendiri. Setibanya kami di M3, maka kami berpecah dua kumpulan, seperti di awal perjalanan dahulu pada 24 Disember 2008. Kami yang sudah dianggap veteran memandu dengan perlahan sedikit kerana agak mengantuk. Pengalaman memandu lama seperti ini, tidak permah kami lakukan, walaupun ramai rakan-rakan kita yang balik kampung semasa Hari Raya Haji dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu mengambil masa 12 atau 13 jam akibat kesesakan teruk.

Hari Jumaat, 26 Disember, 2008 yang dikenali juga ‘Boxing day’ di U.K. setelah selesai bersarapan, kira-kira jam 9.00 pagi kami ke kota London dengan menaiki keretapi bawah tanah. Sebelum itu, bacalah dahulu apa maksud ‘Boxing day’ itu. Boxing Day is a bank holiday or a public holiday in the United Kingdom, Australia, Canada, New Zealand, Hong Kong and countries in the Commonwealth of Nations with a mainly Christian population. It is based on the tradition of giving gifts to the less fortunate members of society. Contemporary Boxing Day in many countries is for many a "shopping holiday" associated with post-Christmas sales and early starts to 'January sales'. This day is historically the UK's name for St. Stephen's Day. Saint Stephen was the first Christian martyr, being stoned to death in Jerusalem around A.D. 34–35. St. Stephen's Day is usually celebrated on December 26, which is a public holiday in some countries and areas in Europe (including but not limited to the UK, Germany, Italy, Alsace and the northern part of Lorraine in France, Catalonia in Spain) and around the world with predominantly Christian populations. Pada pagi itu, untuk bergerak ke stesen yang berdekatan, kami mengambil kereta masing-masing dan bergerak ke Gants Hill Tube Station untuk meletakkan kenderaan dan menaiki ‘tube’ dari sana, namun malang nasib kami, stesen tersebut ditutup kerana masalah ‘vandalism’. Ini adalah satu masalah biasa yang dihadapi di London terutama kawasan-kawasan yang ramai didiami oleh penduduk ‘black’. Kawasan Gants Hill dan Illford ramai penduduknya berasal dari India,dan Pakistan, yang beragama Islam, Hindu, Sikh termasuk kaum Yahudi. Maka, Zam cuba membaca navigatornya dan cuba mencari serta mengesan stesen yang berdekatan dan akhirnya, kami pergi menghala ke Redbridge Tube Station. Kamipun meletakkan kereta di sini dan membayar £1.00 sahaja kerana hari cuti umum diberi diskaun. Pada pagi tersebut, Uncle Z dan ‘family’, tidak turun sekali kerana hendak menukar tayar keretanya. Kami lima keluargapun menempah tiket secara kumpulan (group ticket). Alhamdulillah, kami yang seramai 34 orang ini hanya membayar £49.00 iaitu £3.50 untuk dewasa, £1.00 untuk budak-budak sekolah dan percuma untuk kanak-kanak di bawah umur 11 tahun. Pada amnya, pengalaman kami yang lepas-lepas, pada hari biasa, bukannya cuti umum seperti di Christmas Eve ini, harga tiket untuk dewasa ialah £7.00 sehari. Pada kami yang seronoknya, sehari itu sehingga jam 12.00 tengah malam, kami bebas ke mana-mana menggunakan mana-mana perkhidmatan ‘tube line’ dan boleh menaiki bas dua tingkat yang tercatat logo RV1, London underground. Destinasi pertama kami ialah Wembley Stadium dengan menaiki Central Line dan Bakerloo Line untuk memberikan keseronokan kepada anak-anak. Setelah selesai meronda-ronda kawasan tersebut, kamipun bertolak ke Tower Bridge, London. Memandangkan kami dalam musafir, ramai ahli rombongan bersepakat agar menunaikan solat zohor dan jamak serta qasar, maka kami mencari mana-mana ‘shopping complex’ yang sesuai untuk menunaikan tuntutan Allah tersebut. Kamipun berhenti di Stesen Elephant and Castle. Hanim, isteri Zam, sememangnya seorang wanita dan ibu yang tahan lasak, badannya agak besar juga dapat mencari satu sudut untuk mendirikan solat, namun telah dihalang oleh dua orang ‘security guard’ daripada solat di situ, namun sebahagian besar daripada kami tetap meneruskan solat, walaupun Hanim terpaksa bertikam lidah dengan mereka. Aku dan isteriku yang terlewat sedikit, kerana terpaksa berbaris di tandas dan bilik air terpaksalah solat duduk di atas kerusi di suatu penjuru yang lain. Aku rasa inilah pengalaman kami yang kedua, cuba dihalau dari solat dengan sempurna. Pertama kali, kami alami semasa kami bersolat di suatu ruang kosong di bawah tangga di suatu bangunan berhampiran The London Eye dua tahun yang lalu. Kadang-kadang aku terfikir, mudah lagi solat di tanah airku, sebab di komples membeli-belah, semuanya ada dewan solat dan terpulanglah kepada kita pula untuk memanfaatkannya. Setelah selesai solat, kamipun bertolak segera ke Tower Bridge, kerana waktu sudah hampir jam 2.45 petang dan haripun mula hendak menjelang senja. Kami dapat singgah ke Tower Bridge dan anak-anakku termasuk diriku tidaklah terasa apa-apa ‘excited’ kerana sudah kerap sampai ke sini. Namun untuk keluarga Najib dari Stoke dan Jawari dari Hull, ‘very excited’ dan bergambar sepuas-puasnya sebaik turun dari bas RV1, apatah lagi isteri Jawari dapat bertemu dengan rakan kenalannya yang sama-sama belajar yang turun ke London pada waktu yang sama. Mereka bertuah dapat berjumpa tanpa diduga. Setelah masing-masing puas hati mengambil gambar sehingga hari gelap, kamipun menaiki bas RV1 berpusing-pusing di kota London dan akhirnya turun ke Trafalgar Square dan ke Lillywhite’s, 24 Lower Regent Street, Westminster, London, SW1Y 4QF, berhampiran Piccadilly Circus Tube Station untuk sedikit ‘shopping’. Tempat inilah yang menjadi tarikan membeli-belah di kota London untuk mereka seperti kami yang dianggap tidak berduit kerana harga yang ditawarkan bolehlah jauh lebih murah daripada kedai-kedai lain. Tiba-tiba muncul Uncle Z bersama-sama tiga orang anak perempuannya yang berminat membeli-belah di Lillywhite’s. Mereka turut menaiki tube. Siapa yang berminat membeli kasut seperti Timberland, kasut-kasut sukan yang berjenama seperti Gola, gloves, pakaian sejuk dan jenis pakaian yang lainnya semuanya ada dijual di sini. Oleh kerana aku bukannya berminat sangat dengan apa-apa jenama yang ada, tambahan pula, kocekku sudahpun semakin kempis, maka aku tidak peduli dengan pelanggan-pelanggan yang ada di situ. Aku hanya mundar-mandir sebentar dan akhirnya aku duduk lama bersandar di satu anak tangga di dalam kedai itu untuk berehat dan menanti teman-teman lain selesai berbelanja. Setelah selesai ‘shopping’, maka kami terus balik ke hotel melalui ‘tube station’ di bawah kedai tersebut. Kalau di Kuala Lumpur ada macam ini, mungkin bagus dan tidaklah banyak menghabiskan masa ‘jammed’ di atas jalan raya. Perjalanan balik ke hotel dengan menaiki ‘tube’ tidaklah semudah yang dijangkakan, walaupun menunggu tidaklah begitu lama, namun di bawah tanah itu manusia macam semut, menunggu tube dan bersesak-sesak, terutama di Central Line. Kami terpaksa berpecah-pecah untuk menaiki gerabak/coach. Aku dan berapa orang anak-anakku yang besar terpaksa berasak-asak untuk menaiki ‘tube’ dan ‘tube’ tidak berhenti lama di suatu stesen, barangkali tidak sampai seminit sudah mula hendak bergerak. Masing-masing seolah-olah berebut untuk menaiki ‘tube’ dan malam itu kami terpaksa berhimpit-himpit berdiri. Anakku yang bongsu dan ibunya serta beberapa teman yang lain terpaksa menunggu ‘tube’ yang lain kerana semua ‘tube’ sentiasa penuh dan padat. Walaupun aku dan beberapa orang yang lain sampai 10 minit lebih awal di stesen Redbridge tempat di mana kami memulakan perjalanan dan ‘parking’ kenderaan kami, namun kami terpaksa menunggu rakan-rakan yang lain kerana tiket kumpulan ada padaku. Kami selamat sampai ke hotel dan setelah meletakkan kereta di tempat ‘parking’ aku dan bapa-bapa yang lain mencari kedai makan dan membeli lauk dan daging ayam panggang untuk makanan malam kami yang sudah terlewat. Aku telahpun memberitahu isteriku agar dapat memasak nasi sahaja di bilik hotel. Setelah aku membawa lauk untuk dimakan segera, tetapi aku dapati bilikku gelap dan isteriku memberitahu semasa dia sedang memasak air untuk minuman, tiba-tiba elektrik padam. Isteriku telahpun memaklumkan kepada hotel untuk memeriksa dan diperbaiki namun setengah jam menunggu, mereka tidak membuat apa-apa tindakan. Isterikupun meminta izin temannya di bilik lain untuk tumpang masak nasi dan menunggulah kami seketika, sedangkan perut sudahpun berbunyi, bermacam-macam lagu dan irama. Setelah nasi masak, walaupun berkali-kali rakanku menjemput makan di biliknya, namun aku pula ‘mengarah’ anak buahku, Syahid, turun semula ke ‘reception’ dan meminta bilik lain dan akhirnya, kami memperolehi bilik lain. Aku tahu anak buahku, bukannya mahir sangat berbahasa Inggeris, namun sejak dua kali datang dan duduk bersama kami di U.K. ini darjah keyakinannya dan ingin mencuba amat tinggi. Dia kini dapat menguasai bahasa ini dengan baik. Masa itu aku dapati, isteriku tidak bermaya dan mampu berfikir lagi. Aku kerahku semua anakku untuk berpindah bilik dengan segera, akupun dapat makan dengan segera dan seterusnya berehat dan terlelap.

Hari Sabtu, 27 Disember 2008, hari terakhir perjalanan kami ke kota London semula dengan membawa kenderaan sendiri. Seperti biasa kami bersepakat untuk keluar jam 9.00 pagi, namun satu berita yang tidak baik kami terima, isteri Najib, Nik Su, kenalan baru kami dari Stoke yang sedang mengandung, didapati keguguran dan sedang sakit di dalam bilik. Hanim dan ibu-ibu lain membuat keputusan, agar kami dapat berjalan-jalan di bawah hotel ini untuk meninjau-ninjau atau’ window shopping’ sehingga paling lewat pukul 10.30 pagi, sebelum bertolak ke London. Akhirnya, semuanya dapat bergerak mulai jam 11.00 pagi dan tempat yang dituju adalah British Museum di Great Russell Street dan Science Museum. Kami berpecah beberapa kumpulan kerana masing-masing ada Tom Tom. Kami terpaksa berbuat begitu kerana di dalam kota London, jalannya sempit, kelajuannya hanya 30 batu sejam dan banyak simpang dan lampu isyarat, walaupun tidak sesak, melainkan di kawasan-kawasan yang bukan di dalam lingkungan ‘Conjestion Fee’. Di London, parking di tepi-tepi jalan amatlah terhad dan mahal iaitu 5 minit untuk 40p atau sejam £4.80p. Akhirnya, kami dapat meletakkan kenderaan di satu bangunan di Museum Street dan membayar sejumlah £15.40p. Walaupun terasa berat, terimalah hakikat itu. Barangkali inilah agaknya, ramai orang termasuk penduduk London menggunakan ‘tube’ untuk bergerak ke mana-mana kerana bayaran letak kereta amatlah mahal. Muzium ini dibuka sejak tahun 1743 dan para pengunjung masuk secara percuma, walaupun di beberapa lokasi, para pengunjung digalakkan memberikan ‘donation’. Aku sempat juga menghulurkan RM1.00 sebagai kenang-kenangan. Banyak barang lama dipamerkan di British Museum ini, termasuklah sejarah matawang, tembikar, jam, Mummies of Ancient Egypt, Greece, Islamic World, Babylon. Setelah kami dapat mengambil gambar dari semua sudut dan masing-masing letih dan selesai solat di suatu sudut di dalam bangunan ini, kamipun bertolak ke Science Museum di Exhibition Road, South Kensington, London SW7 2DD, manakala Najib lebih awal balik ke Stoke bagi mendapatkan rawatan doktor untuk isterinya. Seperti biasa, terdapat kesukaran untuk mencari ‘parking’. Akhirnya, kami dapat meletakkan kenderaan kami di Imperial College Parking, yang bersebelah dengan Science Museum ini. ‘Parking’ di sini mengikut jam iaitu, £3.00 sejam, £6.00 2 jam, £11.00 3 jam. Semakin lama meletak kereta, semakin bertambah mahallah harga ‘parking’ yang perlu dibayar. The Science Museum mempunyai lebih 300,000 barangan pameran termasuklah ‘the oldest surviving steam locomotive, documentation of the first typewriter, digital technology Glimpses of Medical History, sejarah pembuatan plastik dan sejarah pembuatan kereta sumbangan Nissan, Jepun. Hampir dua jam di sini, maka kami berpakat untuk terus balik ke rumah masing-masing, manakala Jawari menuju ke Essex, ke rumah kenalannya dan bermalam di sana. Kami yang tinggal lima kereta terus keluar dari kota London menuju ke M1 dan mencari R & R yang terdekat untuk makan malam dan makanlah kami beramai-ramai lebihan lauk semalam yang masih elok dan segar. Kami tiba di rumah jam 12.15 malam.

Kelebihan berjalan secara Konvoi:-

Dengan tidak menafikan ada kelemahan di dalam berkonvoi, namun difikirkan secara positif, banyak kelebihan berjalan secara berkonvoi iaitu:-


i) Bersepakat membuat keputusan dan mematuhi setiap perancangan dan pelaksanaannya, yakni tanpa mementingkan urusan diri sendiri.
ii) Belajar berkongsi pengalaman dan sama-sama berusaha menyelesaikan masalah yang dihadapi semasa dalam perjalanan dan menerima hakikat kesenangan serta kesusahan yang menimpa. Ingatilah peribahasa kita, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing dan ke bukit sama didaki ke lurah sama dituruni.
iii) Bersama-sama memberikan pandangan, pendapat dan bertolak ansur untuk kebaikan ahli rombongan, contohnya, cara-cara penjimatan perbelanjaan.
iv) Suatu proses sosialisasi, interaksi, komunikasi, kemesraan yang bermakna untuk dipelajari oleh semua ahli rombongan termasuk anak-anak untuk mengenali dan mempraktikkan maksud kerjasama serta hal-hal kemanusiaan. Ini juga boleh dinyatakan sebagai asas pendidikan untuk anak-anak. Ingatilah peribahasa kita, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
v) Menguji sifat peribadi masing-masing, terutama keyakinan, ketaatan kepada kepimpinan dan kesabaran dan bukan bermaksud menonjolkan kehebatan sendiri. vi) Dapat mengenal dengan jelas dan terperinci hati budi, perwatakan, perangai, tingkahlaku, peribadi masing-masing. Dalam konteks jemaah, di sinilah kita boleh melihat karektor, personaliti individu yang terbabit dan jika ditinjau dari sudut tarbiyah, ini juga satu bentuk mentarbiyah rohiah, aqliah dan jasadiah. Maka, terpulanglah kepada kita untuk menilai, membuat tanggapan, persepsi terhadap sikap dan personaliti teman-teman masing-masing. Hakikatnya, kita masing-masing akan mampu menyesuaikan dan menerima apa jua karenah-karenah dan watak-watak yang berbeza. Jika kita mampu untuk menegur sebarang kesilapan atau kesalahan perangai yang difikirkan tidak sesuai, adalah suatu yang terbaik untuk kebaikan bersama.

Nukilan ini untuk bahan penglipur lara, pengalaman, berita/maklumat sebenar, menjadi bahan koleksi, simpanan peribadi, elemen pendidikan, berkongsi perbincangan membina dan berniat untuk membentuk potensi semulajadi. Apa yang baik itu datangnya dari Allah s.w.t.dan yang buruk itu lahir dari diriku sendiri. Semoga bertemu semula di ruangan seterusnya.

Selamat maju jaya dalam tahun baru Hijriah dan Masihi Tahun 2009 ini. Wallahualam bi shawab.

No comments: