Friday, September 10, 2010

ROH HARI RAYA 'IDULFITRI

Sepanjang bulan Ramadan yang dilalui tahun ini saya penuhi dengan kunjungan ke masjid atau surau di sekitar kampung di Bukit Hijau dan di Puncak Alam. Itupun saya tidak sempat berkunjung ke semua masjid dan surau.

Pada tahun ini, saya mengambil masa, berhasrat untuk meninjau-ninjau, memerhati dan memahami setiap pengisian tazkirah dan pemilihan imam tahfiz serta cara mengalunkan rentak, irama dan taranum bacaan di solat tarawih.

Saya banyak 'menghilang' daripada menjadi imam dan makmum di Fasa 1 kerana turut menerima undangan berbuka di rumah teman, di surau lain, program anjuran penduduk, mengiringi atau menemani sahabat seperjuangan dan tazkirah. Saya hanya muncul di Fasa 1, apabila ada program khusus atau jika program di tempat lain habis lebih awal dan yang benar-benar memerlukan khidmat saya.

Saya rasa seronok beralih-alih tempat solat tarawih dan solat subuh di hujung minggu kerana berkesempatan bertemu dengan pelbagai peringkat masyarakat untuk berkenal-kenalan dan beramah mesra.

Ketika makan moreh, dapatlah saya mengenali dengan lebih dekat para ustaz/penceramah dan kenalan-kenalan baru. Saya rasa dengan cara ini, saya berupaya untuk memahami dan menilai corak pemikiran masyarakat dewasa ini.

Walaupun agak penat, letih dan kerap tidur lewat pada waktu malam, namun 'exercise' di bulan Ramadan ini, menguji daya tahan saya 'berjaga' dan mempunyai daya stamina terutama untuk mencari dan meneroka hikmat berada di bulan ini.

Saya menyedari dan mengakui bahawa terlampau banyak perkara yang boleh dipelajari apabila berada di bulan ibadat ini.

Satu-satunya yang saya hendak berkongsi bersama ialah ikatan kasih sayang, simpati dan sumbangan atau ciri-ciri kerjasama di dalam membantu orang susah terutama orang miskin atau anak yatim.

Kehidupan di dunia ini, tidak semua orang akan diberi 'kesenangan' atau 'kemudahan' di dalam hidup. Di dalam bulan Ramadan, kadar sumbangan untuk tabung membantu orang 'susah' amat menggalakkan dan dianggap positif.

Saya mohon aktiviti derma atau sedekah mampu diteruskan sama ada untuk membiayai aktiviti harian masjid atau surau, terutama untuk membiayai infrastuktur/ kemudahan para jemaah dan bayaran penceramah atau bil-bil tertentu.

Roh bulan Ramadan sewajarnya dilipatgandakan di bulan-bulan seterusnya, seolah-olah kita hanya dapat tanggap, semua bulan seolah-olah Ramadan.

Roh 'Idulfitri dijangkakan berupaya mendidik, membimbing dan memimpin semua orang yang berharta atau berada atau berwang untuk menderma dan membantu menegakkan syiar agama dan turut dapat menyelesaikan permasalahan hidup sesama Islam dan insan yang lain.

Saya terfikir, rapat manapun kita dengan Allah, namun tidak berusaha untuk menunjukkan rapat dan membantu menyelesaikan masalah insan lain, dikhuatiri kita tidak akan diikhtiraf sebagai kelompok umat Muhammad s.a.w.

Zakat fitrah yang diwajibkan hanya setahun sekali adalah berfungsi, berperanan mendorong ke arah merancang aktiviti untuk menyelesaikan masalah ekonomi umat, namun saya dapati ada juga hamba Allah yang seolah-olah terlupa untuk melunaskan bayarannya sebelum solat sunat 'Idulfitri.

Di Surau Ar-Rahimah, Fasa 1, sebelum 1/2 jam solat, ada seorang ahli jemaah tergesa-gesa dan kelam-kabut bertanya saya, amil fitrah. Saya kata, amil fitrah tiada di surau pagi ini dan saya meminta beliau segera pergi ke Masjid Felda (Bukit Cherakah) untuk menyelesaikannya. Saya nampak beliau tidak biasa dengan surau atau masjid kerana tetap 'menghilang diri', walaupun saya tahu anak siapa. Mujurlah ada bulan Ramadan membolehkan beliau berkunjung ke surau atau masjid dan dapat bertemu atau bercakap dengan saya, "geng surau". Saya berdoa moga beliau atau orang sepertinya di beri hidayah dan mampu dijinakkan untuk ke rumah ibadat dan memikir secara serius mengenai persoalan kewajipan atau hukum agama.

Sebelum terlambat, saya ucapkan 'taqabbalallah minna wa minkum-minal 'aiedin walfa iezin-kullu a'mmun wa antum bi khair'.

No comments: