Sunday, August 08, 2010

SAMAN EKOR MENYUSAHKAN RAKYAT?

Saman ekor sebenarnya menyusahkan rakyat dari pelbagai aspek iaitu:

1. Pihak polis cuba mengintai-intai kesalahan atau kesilapan pengguna jalan raya di tempat-tempat yang telah dinyatakan di sepanjang lebuh raya atau di jalan-jalan biasa seperti Jalan Persekutuan atau yang melanggar syarat kelajuan yang ditetapkan. Pihak polis trafik akan 'memacakkan diri' di tempat yang jelas nampak seperti di bawah jambatan, kerana mudah mendapat tempat teduh dan mengelakkan pancaran terik matahari atau menyorokkan diri di belakang gerai buah-buahan, memasang kamera dan merakam 'pesalah'. PDRM tidak pernahpun menghebah atau mengiklan atau menyedia peta laluan di ruang akhbar arus perdana di mana-mana 'spot area' mereka, seperti halnya memaklumkan kawasan kemalangan yang kerap berlaku. Soalnya, adakah adil menyorok dan merangkap pesalah dan mengenakan denda tinggi? Adakah semua pengguna jalanraya berduit untuk membayar saman? Pengalaman saya dan rakan-rakan, saman ekor biasa 'terkena' di laluan jalan negeri yang kadar kelajuannya di bawah 90 km sejam. Ada beberapa teman saya berpandangan kerajaan yang ada ini, kemaruk duit rakyat untuk membiayai pembangunan PDRM. Adakah kerajaan tidak rasa bersalah mengutip denda yang tinggi daripada rakyat dan rata-rata yang membayar saman adalah kerana terpaksa, nama disenarai hitam, hakikatnya, batin tersiksa, merana, melahirkan perasaan benci, maki saranah, umpatan dan tidak ikhlas . Adakah kerajaan ingin menyiksa batin pemandu?

2. Kebanyakan pemandu kita berpendapatan sederhana dan rendah. Adakah mereka mampu atau berupaya menjelaskannya semua? Adakah PDRM tidak sedar dan membuat kajian mengapa masih banyak lagi tunggakan denda atau ramai yang gagal membayar denda? Saya ingin menegaskan, rakyat Malaysia rata-rata berpendapatan rendah dan terpaksa membayar semua perkhidmatan atau barangan dengan harga tinggi? Soalnya, di mana keadialan sosial dan untuk memberi kebajikan kepada rakyat. Kerajaan sewajarnya sedar betapa bebanan kewangan cukup tinggi yang perlu ditanggung oleh semua orang, melainkan menjelang 2020 Malaysia menjadi negara maju dan semua orang berpendapat tinggi seperti yang terkandung di dalam pelan strategik 'New Economic Model'. Tiada sikap timbangrasa dan keperihatinan kerajaan kepada rakyat mengenai perkara ini masih boleh dan tetap dipersoalkan. Terlampau banyak rungutan, namun 'dollars and cents' masih menjadi pertimbangan kerajaan. Kadar saman juga adalah tinggi berbanding dengan negara lain. PDRM wajar mencari maklumat dan melihat kadar saman di UK sebagai perbandingan.

3. Adakah PDRM ingin mendidik pemandu untuk belajar memandu berhemah dan tidak terlibat dengan kemalangan jalan raya? Saya berpendapat, PDRM boleh buat sekatan jalanraya dan cari kesalahan yang nampak jelas yang ada kaitan dengan kemalangan, seperti cara pemanduan merbahaya, kelajuan yang luar biasa, tidak memakai tali pinggang atau topi keledar atau memandu tanpa cukai jalan atau tanpa lesen memandu yang sah atau apa-apa yang boleh diistilahkan sebagai 'merbahaya'. Di sesuatu sekatan jalan raya, PDRM berupaya berinteraksi terus atau berbual mesra dengan para pemandu dan boleh memberi nasihat atau teguran atau yang tidak makan saman, boleh dikenakan tindakan amaran, saman dan reman, yang munasabah.

4. Tidak semua rakyat ada internet dan menyemak saman ekor sendiri dan ada kesedaran tinggi untuk membayar. Saya beberapa kali terpaksa tengok sendiri atau bila hendak bayar cukai jalan, baru tahu ada kena saman. Jarang sekali saya terima surat saman daripada PDRM serta merta.

Itu antara beberapa perkara yang saya boleh bangkitkan dan rumusan saya, saman ekor menyusahkan, maka wajar dibatalkan serta merta. PDRM carilah idea atau kaedah lain dan yang pentingnya mesra pengguna serta tidak menyusahkan duit rakyat. Kalau saman ekor tidak selesai, macam-macam nanti 'tumbuh ekor' atau masalah lain yang akan datang. Jangan semua denda hanya dalam bentuk duit dan saman ekor akan menjadi hutang bagi para pemandu.

No comments: