Thursday, September 16, 2010

BAGAIMANA ISLAM MEMBENTUK KEPIMPINAN?

Suatu hari isteri saya bertanya saya, ketika berbahas mengenai melahirkan atau membentuk kepimpinan, "bagaimana Islam membentuk kepimpinan"?

Sukar bagi saya untuk mencari fakta yang ditulis secara teori di dalam buku-buku ilmiah memperincikan secara jelas, bagaimana agama Islam memproses manusia menjadi pemimpin.

Kebanyakan pengarang beragama Islam atau penulis buku-buku kepimpinan menukilkannya secara tidak langsung dengan memetik ayat dalam surah-surah tertentu di dalam Al Quran untuk membuktikkan agama ini berupaya membentuk kepimpinan kemanusiaan yang unggul.

Sejarah Islam turut disandarkan di dalam menghuraikan bagaimana hasil kepimpinan Islam mampu atau berupaya merubah kehidupan dan tamadun kemanusian sejagat.

Bernard Lewis menulis ungkapan kehebatan Islam di dalam bukunya, What Went Wrong seperti ini, " for many centuries, the world of Islam was in the forefront of human achievement - the foremost military and economic power in the world, the leader in the arts and sciences of civilization --- and then everything changed".

Sebagai pencinta agama dan perjuangan ini, mengapa Islam dipandang sepi oleh penganutnya sendiri, seolah-olah tidak mampu menjana kemajuan peradaban yang diharapkan dewasa ini. Soalan saya, adakah sesiapa yang menjadikan kita semakin lemah?

Perbahasan wajar untuk kita melihat kembali bagaimana roh yang terkandung di dalam Al Quran terutama penghayatan aqidah yang mantap merencana roh dan semangat keimanan yang kental sehingga merubah pendekatan berfikir dan bertindak merubah kehidupan dunia ini.

Sejarah yang dilalui oleh para ilmuan Islam silam di dalam menyediakan pelbagai karangan buku dan melahirkan kecintaan umat kepada ilmu menjadikan mereka maju untuk sentiasa memperjuang agama Allah di persada global berteraskan tauhid dan dakwah.

Membentuk kepimpinan juga salah satu siri program tarbiyah dan jihad atau perjuangan yang penting. Intipati yang amat mustahak ialah pada peringkat awal ini, bersediakan kita mengambil dan mempunyai sikap berbaik sangka dengan Al Quran yang selayaknya menjadi pedoman kehidupan sepanjang jalan dan hayat.

Kepelbagaian isu, nilai, ramuan yang dipersembahkan oleh Allah di dalam Al Quran berupaya merencanakan manusia untuk dididik seluruh umat manusia pelbagai bangsa dan ras ke Jalan Allah.

Secara ringkasnya, nilai atau persoalan aqidah, kepercayaan, perencanaan moral, akhlak dan suatu sistem peraturan yang digariskan di dalam kitab Al Quran berupaya membentuk kepimpinan bersih, menjaga kepentingan negara dan rakyat sehingga umat keseluruhannya mencintai Islam dan mengetahui Allah sebagai pencipta untuk diletakkan kepercayaan dan bertaqwa kepadaNya semata-mata.

Untuk penutupnya, agaknya apakah formula yang sesuai untuk kita pergunakan untuk membentuk kepimpinan diri terutama di dalam kita ini bergelut dengan pelbagai isu masyarakat seperti perzinaan, pembuangan anak hingga melonjaknya kadar peningkatan kes pembunuhan kejam tanpa mengira siapa mereka itu?



No comments: