Sunday, October 11, 2009

Pengurusan Kewangan yang Mantap

Untuk tujuan memantapkan kedudukan kewangan kita, beberapa aspek pengurusan kewangan wajar diperhatikan;

1. Perancangan strategik

Perhatian khusus dan asas di dalam mengendalikan perbelanjaan mengikut keutamaan, bijak memilih produk pelaburan, tabiat berjimat dan merancang segala perbelanjaan secara berhemah dan mengurus pendidikan keluarga hendaklah dibina.

Semua dokumen, bil-bil perbelanjaan hendaklah dicatat, rekod, disimpan, disemak semula dan diaudit sendiri untuk diwujudkan imbangan pembayaran dan bajet keluarga yang bersesuaian setiap tahun.

2. Tabiat berbelanja, kawalan atau mengikut kemampuan

Seseorang wajar berbelanja apa yang perlu dan tidak mengikut keinginan sahaja, boros atau desakan untuk bermewah-mewah atau bergaya atau tanpa tujuan yang jelas.

Berbelanja tanpa mengawal bilangan kad kredit hanya akan menambahkan hutang dan dikhuatiri jatuh muflis.

3. Tabungan untuk tuntutan lanjut usia dan kecemasan

Pada mereka yang masih bekerja, khususnya yang 'makan gaji', tabungan KWSP mampu menampung untuk tempoh tertentu. Tabungan lain wajar diwujudkan sendiri, sebagai tambahan tabungan persaraan atau ingin berhenti kerja lebih awal.

Wang pencen adalah dianggap keperluan minimum untuk menyara hidup seharian. Perancangan tabungan tambahan boleh digunakan untuk tujuan tertentu atau desakan sesuatu.

Kehilangan pekerjaan secara tiba-tiba atau sakit teruk atau kematian pencari nafkah akan membawa nasib malang kepada sesebuah keluarga.

Tabungan yang bersifat insurans hendaklah diaktifkan.

4. Bersedia melabur di tempat yang selamat dan bersesuaian dengan pendapatan

Menabung di institusi yang dibenarkan oleh syarak akan menjamin pelaburan selamat, halal dan berkat. Para pelabur mesti bijak mencari badan, institusi, koperasi, bank atau mana-mana yang boleh dipercayai umum.

Tabungan yang bersifat menambah kekuatan aset boleh digunakan untuk pembiayaan pelaburan pendidikan anak-anak.

5. Merancang untuk infaq, bersedekah dan berzakat

Kita tidak wajar tamak, taksub, boros dan kedekut mengumpul harta. Kita hidup berkeluarga dan bermasyarakat.

Maka, bukan soal kemewahan, kekayaan, prestij, status yang ingin dicapai, namun mutu pencapaian yang kita semua ingin kecapi ialah hidup bersederhana, boleh berdikari, tidak mudah meminta pertolongan dengan sesiapa bahkan mudah untuk membantu orang lain yang sedang di dalam kesusahan dan kesempitan.

Sumbangan derma yang sunat atau yang diwajibkan akan menambah keberkatan rezeki, keselamatan dan kesihatan hidup sekeluarga.

Setiap minggu/bulan mesti dirancang berapa jumlah/kos untuk sumbangan derma kepada pihak-pihak tertentu untuk tujuan membersihkan hati, mencari redha Allah s.w.t. dan menolak bala bencanaNya.

Selamat mengurus kewangan anda dengan bijak.




No comments: