CATATAN 2 : MISI 1 GPM KE PADANG
Isnin 5 Oktober 2009
Di Padang banyak hotel-hotel besar berbintang yang mengalami kerosakan teruk. Tetapi hotel-hotel kecil kebanyakannya selamat dari kesan gempa. Ini mungkin kerana hotel-hotel berbintang bangunannya besar dan lebih mudah rosak bila berlaku gempa.
Keadaan mangsa gempa sangat menyedihkan. Mereka ketakutan dengan gempa susulan, jadi mereka berada di luar rumah sementara bekalan elektrik telah terputus. Hujan lebat yang turun menyusuli gempa menyulitkan lagi keadaan mereka. Dianggarkan paling kurang diperlukan 10 ribu unit khemah darurat bersaiz keluarga untuk menampung penghuni yang rumah mereka rosak binasa, apatah lagi dalam keadaan cuaca yang sering hujan kini.
Harga barang-barang keperluan melonjak naik. Cili merah yang menjadi bahan asas dalam masakan Minang naik daripada Rupiah 30 ribu ke Rupiah 60 ribu se kilo. Barang barang lain juga mengalami kenaikan harga sekitar 30 ke 40 peratus.
Sebelah petang kami sempat singgah minum teh di rumah Bapak Adel Tasman anggota DPRD Sumbar. Beliau ialah adik kepada Aktifanus Jawahir anggota misi kami.
Kami telah menerima informasi tentang Pondok Pesantren Buya Hamka di Maninjau. Asrama pelajar lelaki dan rumah guru tidak dapat digunakan lagi. Namun asrama pelajar puteri, bagunan utama dan masjid masih utuh. Kerana bahaya tanah runtuh, warga pesantren telah pun berpindah ke Masjid Bancah. Setakat ini sudah ada lebih daripada 20 kejadian tanah runtuh disekitar Danau Maninjau.
Kami meneruskan perjalanan ke Pariaman, kawasan yang paling teruk dilanda gempa.
Malamnya kami bermalam di rumah Bapak Arsil Ibrahim yang pernah tinggal agak lama di Kuala Lumpur. Beliau kini bekerja di Jakarta namun adalah penduduk asal Pariaman. Alhamdulillah, rumah dan keluarga Arsil di Pariaman selamat.
Esok pagi kami akan membuat tinjauan sekitar Pariaman.
Laporan dari :
Mohd Asri Abdul, Ketua Eksekutif GPM
Akmal Hisham Abdul Rahim, Ketua Biro Pembangunan Sosial ABIM
Aktifanus Jawahir, Sukarelawan GPM
(Kiriman daripada sahabat saya, Shafudin Mohd Yatim, Presiden Kelab Melayu Hull, UK)
No comments:
Post a Comment