Wednesday, October 14, 2009

AMALAN 5S

Pada prinsipnya, kita boleh meniru, mengambil contoh dan mengamalkan daripada sesiapa atau dari mana sesuatu yang baik diperolehi.

Konsep 5S iaitu Seiri, Seiton, Seiso, Seiketsu dan Shitsuke tidak asing dengan masyarakat Jepun.

Organisasi dan orang Malaysia menceduk dan mengubah pendekatannya dengan ucapan Sisih, Susun, Sapu, Seragam dan Sentiasa Amal, mengikut kesesuaian.

Bercakap mengenai urusan pejabat atau pengurusan organisasi, pendekatan 5S ini mulai mendapat sambutan menggalakkan di sektor awam.

Aku tidak berhajat untuk mengulas manfaat atau kesan positif terhadap organisasi dan personaliti warga organisasi berkenaan dengan penerimaan konsep 5S tersebut.

Aku sekadar ingin meninjau dan ingin mengetahui persepsi, tabiat, sikap, mentaliti dan tingkahlaku orang Islam yang sebahagian besarnya orang Melayu dalam konteks kehidupan seharian.

Di pejabat rata-rata semua begitu akur, istiqamah dan sentiasa menurut perintah dengan kehendak pencapaian target objektif organisasi dan kepImpinannya, namun sebagai peribadi muslim tidak pula terencana sifat dan tata kelakuan yang dihajati.

Konsep 5S hanya berlaku dan dijadikan asas peningkatan produktiviti bagi kelangsungan perkhidmatan yang penuh dengan idea inovatif, responsif dan efektif.

Diri individu muslim tidak berusaha untuk menyisihkan perkara-perkara mungkar, dosa bahkan masih terlibat dengan perkara-perkara yang ditegah oleh syarak. Majlis tari menari, nyanyian secara berpasangan masih berterusan di kebanyakan pejabat ketika sambutan Aidil fitri.

Ini bermakna, perkara halal dan haram kelihatan berselang-seli, walaupun doa dibaca di awal majlis.

Pada masa yang sama, masih kedapatan kaum wanitanya yang belum sempat menutup aurat, mungkin tidak sempat untuk sisih perkara yang diharamkan. Sewajarnya kita mempunyai sikap mengasingkan atau meminggirkan perkara-perkara yang haram, sememangnya tidak diperlukan di dalam kehidupan dan membuangkannya jauh-jauh.

Ada di kalangan ketua jabatan, boleh menyusun barang-barang yang diperlukan dengan teratur dan cantik bagi memudahkan sesiapapun mengambilnya untuk tugasan sempurna, namun belum sempat untuk menyusun waktu solat yang betul sehingga mesyuarat berpanjangan hampir luput waktu asar.

Sebenarnya amat mudah sapu atau membersihkan tempat kerja dengan rapi supaya tiada habuk di mana-mana tempat, namun untuk meninjau apa yang berlaku pada dalaman diri, terutamanya dari segi berfikir secara Islam, melihat aspek agama, falsafahnya di dalam mendasari kehidupan hakiki dan berorganisasi tidak terlintas untuk disemati. Sewajarnya kita sapu perangai-perangai sombong, bongkak, bermegah, ego dan menganggap diri hebat dan 'high class'.

Sememangnya kita sanggup memelihara taraf penjagaan kebersihan dan penyusunan tempat kerja yang tinggi pada setiap masa di pejabat, namun pada diri yang bersifat muslim, kita tidak seragam di dalam menguatkuasakan amalan ibadat kita. Masih ramai ' boss' yang tidak sempat mendengar kuliah mingguan dan bersolat jemaah dengan anak buah di surau pejabat masing-masing. Adalah teramat jarang 'boss' boleh menjadi imam solat.

Kita sememangnya sentiasa amal dan berusaha melatih para pekerja mematuhi peraturan penjagaan kebersihan dengan baik tanpa pengawasan sepenuhnya, namun mengapa kita masih gagal mengawasi diri sendiri untuk cuba mematuhi perintah dan amalan-amalan Islam yang telah ditaklifkan kepada kita.

Aku berpandangan, kalau 5S tidak dijadikan kaedah di dalam aspek pengurusanpun, kita sebagai seorang Islam, sewajarnya boleh mengurus dengan cara baik.

Cuma kita tidak terfikir untuk menjadikan sesutu perkara di dalam bentuk teori, maka orang Jepun merencanakan sesuatu teori, kita pula terpaksa akur dan terima ianya sebagai suatu proses perkembangan pengetahuan (development of knowledge) serta mampu digunapakai untuk semua dan di peringkat global.














No comments: