Friday, October 30, 2009

Program/aktiviti kebajikan

Manusia hidup di dunia ini tentu ada kekurangan sama ada dari segi fizikal, pemikiran mahupun kerohanian.

Pada amnya, seseorang dibantu oleh seseorang atau sekumpulan orang apabila seseorang itu ada masalah atau kekurangan tertentu di dalam proses menjalani kehidupan ini.

Maka, Islam adalah suatau agama yang diturunkan untuk membantu atau menolong sesiapa sahaja yang dianggap di dalam 'kesusahan' atau 'kesempitan hidup'.

Melakukan kerja-kerja kebajikan adalah suatu amalan yang mulia di sisi agama dan sesiapa yang mempunyai niat bersungguh-sungguh seperti menunaikan aktiviti bersedekah sudah dianggap melakukan suatu kerja amal kebajikan (hubungan kemanusiaan) dan akan dibayar dengan pahala oleh Allah s.w.t.

Ini bermakna, aktiviti kebajikan adalah suatu tuntutan syarak sama ada dituntut wajib mahupun sunat melihat sesuatu situasi yang ditentukan.

Parti politik mahupun NGO's atau sesiapa sahaja atau orang perseorangan wajar menrealisasikan atau berusaha untuk memenuhi tuntutan syarak ini.

Ini bermakna, menyelesaikan isu 'kesusahan' manusia tidak boleh diabaikan atau dipandang ringan atau diserahkan kepada orang-orang tertentu sahaja.

Bahkan parti politik yang bergerak hanya atas dasar untuk "memperjuang agenda politik atau untuk berpolitik semata-mata" dan berasa untuk membantu orang-orang bermasalah dan susah belum dikira memenuhi tuntutan agama.

Aku merasakan jemaah atau harakah Islam mahupun ahli pejuang dakwah semestinya menganggap atau mempunyai persepsi positif atau pandangan yang jitu bahawasanya aktiviti kebajikan semestinya sama tingkat atau darjah untuk ditunaikan seperti tuntutan melakukan tugas solat dan puasa.

Aktiviti kebajikan mengandungi banyak manfaat dari aspek kemanusiaan terutamanya di dalam menyelesaikan masalah kehidupan orang Islam setempat (ahli jemaah) bahkan penduduk atau orang bukan Islam.

Kewajaran program/aktiviti kebajikan wajar dipergiat, diperluas, dirancang bersungguh-sungguh dan dijadikan program berterusan jangka panjang dipastikan mempunyai kesan positif iaitu:-

Manfaat Ahli dan kepimpinan Jemaah

1. Bertujuan mengekal, mengiltizam ahli jemaah kepada perjuangan parti apabila, masing-masing dibela dan dilihat segala kesusahan mereka terutama ketika berlaku sebarang musibah. Mereka tidak akan 'lari' dari perjuangan. Kesan positifnya ialah mampu mengukuhkan komitmen ahli di dalam setiap aspek kerja berjemaah sehingga mampu membentuk atau melahirkan pemantapan organisasi parti. Parti akan menjadi kuat kerana dokongan dan sokongan yang tidak berbelah bagi.

2. Dari aspek kepimpinan pula, bantuan dan sumbangan yang diberi akan mendekatkan ahli sendiri bahkan masyarakat setempat untuk sentiasa bersama-sama di dalam memberi amanah dan akhirnya mereka bertambah yakin atau percaya dengan kebolehan Islam memimpin.

3. Tugas untuk mencari dan membina keyakinan orang ramai kepada perjuangan Islam bukannya mudah. Maka, dengan cara mendekati masalah orang ramai dan masyarakat setempat diharapkan ahli-ahli jemaah mampu belajar segala permasalahan hidup dan berusaha untuk mencari jawapan dan keputusan terbaik di dalam menyelesaikan masalah umat. Ini bertepatan dengan tujuan khalifah ialah untuk menyelesaikan masalah umat.

4. Ini adalah proses melatih kepimpinan yang ikhlas, sanggup berkorban untuk faedah orang lain dan boleh dijadikan suatu kriteria atau salah satu syarat asas untuk seseorang itu dipilih sebagai calon pilihanraya mahupun kepimpinan parti atau jemaah. Penilaian terhadap kerja-kerja sosial atau kemasyarakatan tentunya dapat menyedia mutu kerja bakal YB atau wakil rakyat.

5. Berhadapan dengan sebarang keadaan atau situasi kepelbagaian masalah akan memahirkan seseorang pemimpin parti atau ahli di dalam tugasan mengurus masalah. Kesannya, pemikiran kreatif dan kaedah atau teknik menyelesai masalah akan dilakukan secara berkesan dan sistematik. Maka parti turut disanjung oleh masyarakat.

Isu Perancangan Aktiviti

Memandangkan aktiviti kebajikan mampu menjana kebaikan kepada parti, maka wajar digariskan beberapa perkara untuk memantapkan aktiviti tersebut iaitu:-

1. Tujuan, objektif atau matlamat aktiviti hendaklah jelas. Penilitian terhadap dasar dan pelaksanaan program hendaklah ditentukan secara terperinci. Ini termasuklah isu mengurus bajet dan urusan dana atau pengurusan kewangan yang mantap.

2.Pemilihan ketua lajnah dan AJKnya hendaklah terdiri daripada orang yang mudah mesra, berkomunikasi, prihatin dengan orang ramai ataupun ahli di samping sanggup bertungkus lumus berfikir untuk menyelesaikan masalah orang lain.

3. Aktiviti yang bersifat jangka pendek (regular) dan jangka panjang dan sejumlah peruntukan kewangan hendaklah dikenalpasti agar kelangsungan dan "menghidupkan program". Senarai atau jenis aktiviti hendaklah diatur atau direkodkan dengan sempurna, seperti bantuan musibah, ziarah & sumbangan, lawatan ke rumah anak yatim, hospital, kutipan derma atau dana, aktiviti gotong royong, mahupun menyediakan tempat tuisyen, motivasi atau kaunseling.

4. Berusaha bekerja keras mempromosi dan berbincang bahkan pertemuan di dalam usaha merangka atau menyusun kerja.

5. Bersedia merangka program atau aktiviti menjurus kepada manfaat ahli, orang ramai (bukan ahli-termasuk manfaat orang bukan Islam atau mualaf atau OKU, dsbnya.)

6. Sentiasa menyediakan program latihan, bimbingan seperti menyediakan kertas kerja atau laporan, kemahiran komputer, kursus kepada AJK atau pimpinan lajnah kebajikan dan kemasyarakatan, agar mereka benar-benar terlatih dan berdaya saing.






Thursday, October 22, 2009

SIFAT-SIFAT UNGGUL PENGERUSI/PEMIMPIN PERSATUAN/KELAB

Kepimpinan persatuan dan pemilihan AJK tidak sewajarnya mempunyai hasrat untuk mencari populariti, berkepentingan atau mempunyai agenda tertentu.

Kemajuan dan perkembangan positif apa jua persatuan adalah bergantung kepada beberapa faktor:-

1. Pengerusi atau Presiden persatuan mesti bersedia untuk sentiasa aktif dan berinisiatif kepada segala bentuk perubahan dan pembaharuan.

2. Beliau mestilah seorang matang, bijak berhujah, berdiplomasi dan sentiasa bertindak secara waras, rasional di dalam setiap urusan bahkan berani menyuarakan hasrat dan kehendak persatuan kepada pihak-pihak tertentu secara lisan mahupun memorandum atau 'papers'.

3. Beliau adalah seorang yang senang bergaul, beramah mesra, sentiasa mendengar permasalahan dan berusaha mencari penyelesaian setiap masalah yang timbul atau yang berlaku.

4. Sentiasa aktif merancang untuk kebaikan dan manfaat ahli dan pencapaiannya mestilah dinilai secara positif.

5. Bakat kepimpinannya amat terserlah, bahkan perwatakan diri, dan budi pekerti sentiasa bersedia untuk diperbaiki segala kelemahan. Dengan sifat 'humble' dan tabiat suka atau sentiasa mengikuti perkembangan latihan berterusan, seminar, dan kursus-kursus tertentu, kecekapan pengurusan mantap dan kepimpinannya boleh diteladani.

6. Presiden atau pengerusi persatuan mestilah seorang yang tegas, peramah, penyayang, perihatin, dan mampu mempengaruhi, memujuk, dan menguasai 'suasana' di dalam melaksanakan aktiviti persatuan.


Monday, October 19, 2009

BANGKIT UNTUK PERUBAHAN

Perubahan sikap untuk berjaya dan maju di dalam apa jua bidang bukanlah senang atau mudah untuk dilakukan.

Perubahan mungkin boleh berlaku secara perlahan-lahan atau secara derastik.

Pada amnya, ketelusan, keikhlasan hati dan pemikiran yang ketara sedar atau kejernihan daya berfikir dan emosi atau dorongan yang amat mendalam di dalam diri manusia akan melonjakkan tenaga dan perbuatan yang lebih positif.

Dorongan, galakan, dan diplomasi, bukannya kaedah paksaan turut memberi kesan kepada minda untuk berfikir dan berusaha untuk bergerak kepada perubahan.

Berilmu atau berpengetahuan sahaja belum cukup untuk mengemudi perubahan.

Kemahiran dan pelbagaian pengalaman yang dilalui belum memastikan seseorang mampu berubah ke arah yang lebih baik.

Latihan berupa membina ilmu pengetahuan dan kepelbagaian aspek kemahiran belum memberi jaminan seseorang boleh berubah.

Perubahan yang mantap memerlukan sumbangan beberapa banyak faktor terutama hal ehwal keupayaan diri sendiri untuk berubah, persekitaran, sokongan organisasi dan kepimpinan, aspek teknikal, perancangan yang berstrategik, peningkatan daya kepimpinan, kursus atau latihan percambahan minda.

Memandangkan manusia pada amnya, sukar dan lambat untuk berubah, maka aspek pengurusan sumber manusia, wajar meneliti keberkesanan latihan dan bimbingan, terutama dari aspek pembinaan sikap, tabiat dan personaliti.

Kajian yang mendalam mengenai struktur budaya, memahami nilai personaliti dan aspek suasana atau persekitaran kehidupan semasa akan menentukan proses membina keyakinan seseorang bagi berupaya menilai sesuatu perubahan dan akhirnya, mereka berubah secara sepontan atau bersahaja.

Ini bermakna, keupayaan seseorang untuk berfikir secara rasional dan bijak menganalisa akan mempercepatkan budaya untuk sering berubah.

Orang Melayu/Islam di Malaysia masih sukar memahami agenda perubahan, kerana pada amnya, pendekatan politik yang lebih tertumpu kepada agenda politiking kelompok, menyukarkan rakyat berubah serta merta.

Pada umumnya, rakyat masih belum menikmati erti kehidupan sebenar dan selesa dengan nilai atau kuasa wang, berpendidikan dan berkelulusan yang bersesuaian, keadilan sosial, kesejahteraan ekonomi dan kematangan berpolitik, maka tuntutan ke arah negara yang maju, berfikiran terbuka dan dinamik tidak memungkinkan perubahan besar akan berlaku.

Kepincangan dan kelemahan dari aspek pengurusan negara, terutama pengurusan kewangan di dalam proses tuntutan untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat, masih tiris, maka adalah wajar dilaksanakan secara tertib dan bertanggungjawab oleh pemimpin.

Uniknya orang Melayu, apabila mereka sudah cukup makan, tidur selesa, pekerjaan bergaji lumayan, lebih atau banyak berkuasa, sering lupa untuk menghayati perubahan.

Ini bermakna, apabila kalah, tewas atau gagal dalam apa jua lapangan, barulah terasa hendak berubah.


Sunday, October 18, 2009

Key Performance Indicators (KPI) dan Kepimpinan YDP PAS Kawasan

Aku kurang pasti sama ada petunjuk KPI turut digunapakai atau tidak di dalam mengukur dan mengenalpasti kemampuan dan kebolehan YDP memimpin di peringkat kawasan.

Fokus terhadap menampilkan diri sebagai pemimpin Islam contoh di peringkat kawasan hendaklah dilaksanakan dan sewajarnya menjadi agenda utama dan rakyat mampu mengambil contoh dan ikutan.

Pemilihan teraju kepimpinan yang berkredibiliti di peringkat kawasan tentunya akan memberi makna dan impak besar terutama kepada perkhidmatan yang terbaik di peringkat pentadbiran dan pengurusan kerajaan negeri yang di perintah oleh Pakatan.

Aku sekadar ingin mencadangkan pemilihan YDP sebagai ketua parti di peringkat kawasan pada masa hadapan sewajarnya melihat kepada isu-isu berikut:-

1. Keupayaan memahami dan menyediakan hasrat pencapaian kepimpinan Islam sebenarnya.

2. Pelan strategik pembangunan dan perkembangan parti wajar disediakan dengan satu pendekatan budaya kerja dan aktiviti yang mampu meningkatkan penyampaian serta berkesanan komunikasi sehingga ke akar umbi dan ahli biasa.

3. Berupaya menjana keupayaan memperkasakan parti dari aspek penambahan ahli, cawangan dan kaedah penyediaan pemimpin pelapis dan berkebolehan.

4. Memperkukuhkan dana/kewangan parti sehingga mampu mewujudkan sistem pengurusan kewangan yang mantap bagi membela kebajikan ahli sendiri, sesiapa sahaja yang memerlukan dan orang ramai/publik.

5. Berusaha mengurangkan karenah negatif atau remeh di dalam mengurus parti dan menyediakan ruang dan kaedah yang mudah dan pantas untuk setiap ahli/cawangan untuk memberi maklum balas atau rungutan atau terbuka kepada kritikan membina.

6. Keupayaan berkomunikasi, menyelesai masalah, mengurus pengundi, rakyat dan sentiasa turun padang menemui mereka, apatah lagi mereka yang sudah bergelar YB.

7. Kecekapan memantau, membimbing ahli dan cawangan ke arah tuntutan tugasan dakwah, membina ikatan ukhuwah, dan kecemerlangan budaya kerja berjemaah atau 'team work'.

Kesimpulannya, YDP PAS kawasan yang tidak mempunyai asas atau kurang pengalaman pengurusan, dan lemahnya pentadbiran terutama aspek sumber manusia, kewangan atau gagal dalam aspek berkomunikasi yang berkesan wajar mengundur diri dan setiap ahli dan cawangan wajar mencadang dan memilih YDP yang mempunyai tokoh dan berterampilan yang bersesuaian dengan tuntutan zaman dan perubahan.






Thursday, October 15, 2009

Munajat

Aku sekadar ingin memastikan diriku sentiasa berwaspada dengan segala kesilapan yang mungkin akan dilakukan, namun sifatnya sebagai manusia, kekurangan, kelemahan, kesilapan, dan kesalahan tetap dilakukan sama ada secara sengaja atau tanpa disedari.

Ujian, dugaan dan musibah akan kita terima, lantaran sifat makhluk sudah begitu fitrahnya.

Manusia yang muslim tidak wajar berputus asa.

Manusia sewajibnya mengurus dirinya untuk berdamping dan mencintaiNya, penciptaNya, Yang Maha Esa.

Munajat adalah jalannya yang dikehendaki dan Allah sentiasa berjanji, setiap masalah manusia akan diurus dengan baik olehNya.

Allah tidak mungkir dengan janji atau penipu seperti halnya dengan manusia. Percayalah dengan Allah.

Pengertian munajat adalah memohon, meminta sungguh-sungguh (berdoa), merayu, merintih, menangis dan menagih atau menuntut janji Allah untuk menyelesaikan permasalahan hidup kita.

Jangan jemu bermunajat dan perlu mengetahui masa bila hendak bercakap-cakap atau menghampiri Allah. Ceritakanlah secara terbuka kepada Allah, apa masalah yang kita hadapi dan merayu kepadaNya untuk mencari penyelesaiannya.

Pada waktu malam, sedangkan orang lain sedang nyenyak tidur, kita bangun tidur antara jam 3.00 pagi hingga menjelang waktu fajar mengadu dan meluahkan perasaan kita kepada Allah untuk meminta Dia menyelesaikan masalah hidup kita ini.

Mohonlah apa sahaja hajat kita; hendak jadi YB, hendak pangkat, hendak anak semuanya pandai, hendak kaya, hendak menjadi ilmuan dan sebagainya.

Soalnya, adakah kita benar-benar bijak mengurus diri ini untuk berurusan dengan Allah pada waktu/masa yang bernilai?

Hakikatnya, manusia sukar untuk menyelesaikan semua masalah kita, namun Allah akan tetap simpati dengan kita.

Allah tetap mempertimbangkan rayuan dan rintihan kita.

Maka, selalulah bermunajat kepadaNya.




Wednesday, October 14, 2009

AMALAN 5S

Pada prinsipnya, kita boleh meniru, mengambil contoh dan mengamalkan daripada sesiapa atau dari mana sesuatu yang baik diperolehi.

Konsep 5S iaitu Seiri, Seiton, Seiso, Seiketsu dan Shitsuke tidak asing dengan masyarakat Jepun.

Organisasi dan orang Malaysia menceduk dan mengubah pendekatannya dengan ucapan Sisih, Susun, Sapu, Seragam dan Sentiasa Amal, mengikut kesesuaian.

Bercakap mengenai urusan pejabat atau pengurusan organisasi, pendekatan 5S ini mulai mendapat sambutan menggalakkan di sektor awam.

Aku tidak berhajat untuk mengulas manfaat atau kesan positif terhadap organisasi dan personaliti warga organisasi berkenaan dengan penerimaan konsep 5S tersebut.

Aku sekadar ingin meninjau dan ingin mengetahui persepsi, tabiat, sikap, mentaliti dan tingkahlaku orang Islam yang sebahagian besarnya orang Melayu dalam konteks kehidupan seharian.

Di pejabat rata-rata semua begitu akur, istiqamah dan sentiasa menurut perintah dengan kehendak pencapaian target objektif organisasi dan kepImpinannya, namun sebagai peribadi muslim tidak pula terencana sifat dan tata kelakuan yang dihajati.

Konsep 5S hanya berlaku dan dijadikan asas peningkatan produktiviti bagi kelangsungan perkhidmatan yang penuh dengan idea inovatif, responsif dan efektif.

Diri individu muslim tidak berusaha untuk menyisihkan perkara-perkara mungkar, dosa bahkan masih terlibat dengan perkara-perkara yang ditegah oleh syarak. Majlis tari menari, nyanyian secara berpasangan masih berterusan di kebanyakan pejabat ketika sambutan Aidil fitri.

Ini bermakna, perkara halal dan haram kelihatan berselang-seli, walaupun doa dibaca di awal majlis.

Pada masa yang sama, masih kedapatan kaum wanitanya yang belum sempat menutup aurat, mungkin tidak sempat untuk sisih perkara yang diharamkan. Sewajarnya kita mempunyai sikap mengasingkan atau meminggirkan perkara-perkara yang haram, sememangnya tidak diperlukan di dalam kehidupan dan membuangkannya jauh-jauh.

Ada di kalangan ketua jabatan, boleh menyusun barang-barang yang diperlukan dengan teratur dan cantik bagi memudahkan sesiapapun mengambilnya untuk tugasan sempurna, namun belum sempat untuk menyusun waktu solat yang betul sehingga mesyuarat berpanjangan hampir luput waktu asar.

Sebenarnya amat mudah sapu atau membersihkan tempat kerja dengan rapi supaya tiada habuk di mana-mana tempat, namun untuk meninjau apa yang berlaku pada dalaman diri, terutamanya dari segi berfikir secara Islam, melihat aspek agama, falsafahnya di dalam mendasari kehidupan hakiki dan berorganisasi tidak terlintas untuk disemati. Sewajarnya kita sapu perangai-perangai sombong, bongkak, bermegah, ego dan menganggap diri hebat dan 'high class'.

Sememangnya kita sanggup memelihara taraf penjagaan kebersihan dan penyusunan tempat kerja yang tinggi pada setiap masa di pejabat, namun pada diri yang bersifat muslim, kita tidak seragam di dalam menguatkuasakan amalan ibadat kita. Masih ramai ' boss' yang tidak sempat mendengar kuliah mingguan dan bersolat jemaah dengan anak buah di surau pejabat masing-masing. Adalah teramat jarang 'boss' boleh menjadi imam solat.

Kita sememangnya sentiasa amal dan berusaha melatih para pekerja mematuhi peraturan penjagaan kebersihan dengan baik tanpa pengawasan sepenuhnya, namun mengapa kita masih gagal mengawasi diri sendiri untuk cuba mematuhi perintah dan amalan-amalan Islam yang telah ditaklifkan kepada kita.

Aku berpandangan, kalau 5S tidak dijadikan kaedah di dalam aspek pengurusanpun, kita sebagai seorang Islam, sewajarnya boleh mengurus dengan cara baik.

Cuma kita tidak terfikir untuk menjadikan sesutu perkara di dalam bentuk teori, maka orang Jepun merencanakan sesuatu teori, kita pula terpaksa akur dan terima ianya sebagai suatu proses perkembangan pengetahuan (development of knowledge) serta mampu digunapakai untuk semua dan di peringkat global.














Tuesday, October 13, 2009

ADAB PERBUALAN

Sekadar ingin menasihati diriku, mudah-mudahan tidak terlupa, apabila kita sedang rancak berbual dengan sesiapapun.

Beberapa perkara, ucapan atau perbuatan yang patut kita elakkan semasa sedang berbual-bual iaitu;

1. Janganlah kita semacam berlagak membangga diri ( self-boosting) dan egoistik

2. Bercakap tanpa memikirkan ianya akan menjatuhkan maruah atau cuba mengaibkan orang

3. Jangan bercakap terlampau memfokuskan tajuk tentang pencapaian atau kebolehan diri

4. Perlu bersabar dan tidak pantas memotong atau cuba mematahkan atau berhujjah pandangan atau idea orang lain terutama yang baru kita hendak kenali

5. Sentiasa berwaspada dengan tajuk-tajuk yang sensitif seperti hal agama, peribadi atau politik

6. Jangan sekali-kali membetulkan kesalahan atau kesilapan orang lain secara terang-terangan yang dikhuatiri akan hanya menimbulkan perasaan tidak selesa, marah, terasa terguris perasaan

7. Jangan cuba untuk mengkritik apa jua kekurangan atau kelemahan secara terbuka dan kurang bersopan atau beradab

8. Sentiasa mendengar dengan penuh sabar dan hormat tanpa kerap melihat jam atau telefon bimbit

9. Cuba elakkan terkeluar perkataan bosan ketika sedang berbual-bual

Monday, October 12, 2009

BN Menang di Bagan Pinang


BN mengekalkan kemenangan di Bagan Pinang dengan majoriti 5,435 undi.

Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad memperolehi 8,013 undi manakala Zulkefly Mohamad Omar hanya memperolehi 2,578 undi.

Daripada undian pos, BN memperolehi 3,521 undi, manakala PAS hanya memperolehi 601 undi.

Analisa

1. Daripada 8,013 undi yang diperolehi oleh BN, 3,521 undi diperolehi daripada undi pos (43.94%), manakala undi biasa ialah 4,492 (56.06%).

2. BN memperolehi kemenangan semula pengundi India di ladang-ladang Siliau, Atherton, Bradwall dan Sua Betong.

3. Majoriti BN bertambah 110%. Pilihanraya Umum 2008, majoriti BN 2,333. Undi BN meningkat daripada 6,430 kepada 8,013 iaitu sejumlah 1,583 undi.

4. Undi PAS merosot daripada 4,097 kepada 2,578 iaitu sejumlah 1,519 undi.

5. Undian biasa yang diperolehi oleh PAS ialah 1,977 sahaja.

6. Majoriti undian biasa yang diperolehi oleh BN ialah 2,515 (BN 4,492 - PAS 1,977), manakala majoriti undian pos ialah 2,920 (BN 3,521- PAS 601).

7. Undian pos memberi kelebihan dan sumbangan bermakna kepada kemenangan BN iaitu 53.73%, manakala undian biasa hanya 46.27%.

8. Kesimpulannya, BN amat bergantung kepada sokongan tentera dan polis untuk mencapai kemenangan mutlak dan besar.

Sunday, October 11, 2009

Pengurusan Kewangan yang Mantap

Untuk tujuan memantapkan kedudukan kewangan kita, beberapa aspek pengurusan kewangan wajar diperhatikan;

1. Perancangan strategik

Perhatian khusus dan asas di dalam mengendalikan perbelanjaan mengikut keutamaan, bijak memilih produk pelaburan, tabiat berjimat dan merancang segala perbelanjaan secara berhemah dan mengurus pendidikan keluarga hendaklah dibina.

Semua dokumen, bil-bil perbelanjaan hendaklah dicatat, rekod, disimpan, disemak semula dan diaudit sendiri untuk diwujudkan imbangan pembayaran dan bajet keluarga yang bersesuaian setiap tahun.

2. Tabiat berbelanja, kawalan atau mengikut kemampuan

Seseorang wajar berbelanja apa yang perlu dan tidak mengikut keinginan sahaja, boros atau desakan untuk bermewah-mewah atau bergaya atau tanpa tujuan yang jelas.

Berbelanja tanpa mengawal bilangan kad kredit hanya akan menambahkan hutang dan dikhuatiri jatuh muflis.

3. Tabungan untuk tuntutan lanjut usia dan kecemasan

Pada mereka yang masih bekerja, khususnya yang 'makan gaji', tabungan KWSP mampu menampung untuk tempoh tertentu. Tabungan lain wajar diwujudkan sendiri, sebagai tambahan tabungan persaraan atau ingin berhenti kerja lebih awal.

Wang pencen adalah dianggap keperluan minimum untuk menyara hidup seharian. Perancangan tabungan tambahan boleh digunakan untuk tujuan tertentu atau desakan sesuatu.

Kehilangan pekerjaan secara tiba-tiba atau sakit teruk atau kematian pencari nafkah akan membawa nasib malang kepada sesebuah keluarga.

Tabungan yang bersifat insurans hendaklah diaktifkan.

4. Bersedia melabur di tempat yang selamat dan bersesuaian dengan pendapatan

Menabung di institusi yang dibenarkan oleh syarak akan menjamin pelaburan selamat, halal dan berkat. Para pelabur mesti bijak mencari badan, institusi, koperasi, bank atau mana-mana yang boleh dipercayai umum.

Tabungan yang bersifat menambah kekuatan aset boleh digunakan untuk pembiayaan pelaburan pendidikan anak-anak.

5. Merancang untuk infaq, bersedekah dan berzakat

Kita tidak wajar tamak, taksub, boros dan kedekut mengumpul harta. Kita hidup berkeluarga dan bermasyarakat.

Maka, bukan soal kemewahan, kekayaan, prestij, status yang ingin dicapai, namun mutu pencapaian yang kita semua ingin kecapi ialah hidup bersederhana, boleh berdikari, tidak mudah meminta pertolongan dengan sesiapa bahkan mudah untuk membantu orang lain yang sedang di dalam kesusahan dan kesempitan.

Sumbangan derma yang sunat atau yang diwajibkan akan menambah keberkatan rezeki, keselamatan dan kesihatan hidup sekeluarga.

Setiap minggu/bulan mesti dirancang berapa jumlah/kos untuk sumbangan derma kepada pihak-pihak tertentu untuk tujuan membersihkan hati, mencari redha Allah s.w.t. dan menolak bala bencanaNya.

Selamat mengurus kewangan anda dengan bijak.




Saturday, October 10, 2009

BAGAN PINANG DAN RASUAH

Calon BN Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad tetap dicalonkan oleh UMNO walaupun didapati bersalah dan tindakan disiplin telahpun diambil kerana politik wang.

Mencalonkan Isa Samad tidak akan menjejaskan imej UMNO dalam memerangai politik wang dan rasuah kerana kesalahan adalah bersifat teknikal dan sudahpun selesai tempoh hukuman.

Harga diri dan integriti Isa Samad telahpun dipulihkan dan Isa sewajarnya boleh diberi peluang semula untuk berkhidmat kepada rakyat Negeri Sembilan.

Pengundi seumur atau seangkatan dengan Isa mungkin boleh menyokong Isa kerana mereka mudah tersentuh untuk memberi kemaafan atas keterlanjuran tersebut.

Pengundi muda tidak melihat seorang calon dari aspek sumbangan jasa yang telah diberi, namun situasi sekarang mengkehendaki seorang ahli politik dan pemimpin yang bersih dari segala elemen rasuah dan mementingkan diri sendiri dan sifat 'bermuka-muka', seolah-olah simpati dengan nasib rakyat.

Gelombang rakyat menentang dan hendak menghapuskan rasuah memungkinkan Isa boleh tewas di saluran pengundi muda.

Mengundi Isa bermakna rasuah masih berleluasa, membiak dan belum ketara untuk dibasmi oleh UMNO.

UMNO belum serius membasmi politik wang dan rasuah politik.

Selamat mengundi kepada yang layak.




Friday, October 09, 2009

PELACUR ASING

Negara kita sejak akhir-akhir ini dilawati ramai pelancong asing.

Kempen melawat Malaysia dianggap berjaya, berdasarkan pertambahan pelawat khususnya dari Timur Tengah, Asia Tengah dan Timur Jauh.

Kepesatan industri pelancongan mengundang kemasukan pelbagai karenah mereka.

Mereka yang ingin atau berhasrat berkunjung atau melawat ceruk rantau negara dan menikmati segala keindahan negara adalah amat dialu-alukan.

Namun, ada segelintir menggunakan keistimewaan pelawat untuk aktiviti tidak bermoral.

Aktiviti perdagangan manusia yang didalangi oleh orang tempatan amatlah dikesali.

Amat malang, pelajar-pelajar asing turut terlibat. Mereka menyalah-gunakan visa pelajar untuk aktiviti yang dianggap mencemarkan nama negara masing-masing.

Tiada jalan singkat untuk menyelesaikan isu ini, melainkan semua terutama pihak berkuasa tempatan, pihak polis, penguatkuasa yang mempunyai 'authority' seperti imigresen, kejiranan, orang kenamaan, rumah-rumah persendirian, hotel murah dan eksklusif bekerja sama memberi maklumat dan turut serta bertanggungjawab membina persekitaran sosial yang bebas daripada semua elemen maksiat dan tidak bermoral.

Tindakan undang-undang dan buang daerah kepada 'ibu atau bapa ayam' atau penghantaran balik pelawat dan pelajar tidak bermoral dan disekat daripada memasuki negara ini semula hendaklah dilaksanakan secara tegas.

Kebanjiran pelacur asing akan hanya mengundang bala bencana kepada negara.














Wednesday, October 07, 2009

GEMPA BUMI DI PADANG

CATATAN 2 : MISI 1 GPM KE PADANG

Isnin 5 Oktober 2009

Di Padang banyak hotel-hotel besar berbintang yang mengalami kerosakan teruk. Tetapi hotel-hotel kecil kebanyakannya selamat dari kesan gempa. Ini mungkin kerana hotel-hotel berbintang bangunannya besar dan lebih mudah rosak bila berlaku gempa.

Keadaan mangsa gempa sangat menyedihkan. Mereka ketakutan dengan gempa susulan, jadi mereka berada di luar rumah sementara bekalan elektrik telah terputus. Hujan lebat yang turun menyusuli gempa menyulitkan lagi keadaan mereka. Dianggarkan paling kurang diperlukan 10 ribu unit khemah darurat bersaiz keluarga untuk menampung penghuni yang rumah mereka rosak binasa, apatah lagi dalam keadaan cuaca yang sering hujan kini.

Harga barang-barang keperluan melonjak naik. Cili merah yang menjadi bahan asas dalam masakan Minang naik daripada Rupiah 30 ribu ke Rupiah 60 ribu se kilo. Barang barang lain juga mengalami kenaikan harga sekitar 30 ke 40 peratus.

Sebelah petang kami sempat singgah minum teh di rumah Bapak Adel Tasman anggota DPRD Sumbar. Beliau ialah adik kepada Aktifanus Jawahir anggota misi kami.

Kami telah menerima informasi tentang Pondok Pesantren Buya Hamka di Maninjau. Asrama pelajar lelaki dan rumah guru tidak dapat digunakan lagi. Namun asrama pelajar puteri, bagunan utama dan masjid masih utuh. Kerana bahaya tanah runtuh, warga pesantren telah pun berpindah ke Masjid Bancah. Setakat ini sudah ada lebih daripada 20 kejadian tanah runtuh disekitar Danau Maninjau.

Kami meneruskan perjalanan ke Pariaman, kawasan yang paling teruk dilanda gempa.
Malamnya kami bermalam di rumah Bapak Arsil Ibrahim yang pernah tinggal agak lama di Kuala Lumpur. Beliau kini bekerja di Jakarta namun adalah penduduk asal Pariaman. Alhamdulillah, rumah dan keluarga Arsil di Pariaman selamat.

Esok pagi kami akan membuat tinjauan sekitar Pariaman.

Laporan dari :
Mohd Asri Abdul, Ketua Eksekutif GPM
Akmal Hisham Abdul Rahim, Ketua Biro Pembangunan Sosial ABIM
Aktifanus Jawahir, Sukarelawan GPM

(Kiriman daripada sahabat saya, Shafudin Mohd Yatim, Presiden Kelab Melayu Hull, UK)

Saturday, October 03, 2009

BERAYA SEBULAN

Konsep rumah terbuka sejak beberapa tahun kebelakangan ini semakin rancak, besar dan meriah.

Para pemimpin kerajaan bahkan korporat mengadakan sambutan secara besar-besaran yang tentunya akan melibatkan peruntukan yang besar dan sumbangan daripada para dermawan.

Malaysia bolehlah dianggap mempunyai pelbagai budaya dan cara hidup yang unik dan jalinan kemesraan antara pemimpin dan rakyat wajar dilakukan.

Malaysia terpaksa dan perlu banyak merancang aktiviti sosial dan makan-makan dan beramah mesra, sehingga negara kita ini dianggap terlampau banyak cuti dan aktiviti sosial (social activities and functions).

Banyak masa dan tenaga turut ditumpukan kerana mengikuti arus suasana atau iklim politik semasa yang mengkehendaki kekerapan menemui rakyat jelata.

Konsep 1 Malaysia seperti yang diilhamkan oleh PM meminta rakyat didahulukan.

Kebaikan utama aktiviti sosial seperti aktiviti beraya memungkinkan hubungan sokongan berterusan dan berkekalan dengan kerajaan yang sedia ada memerintah.

Inilah cara atau kaedah kerajaan atau pemimpin bersedekah, melabur dan mengambil hati rakyat.

Persoalannya, bagaimanakah cara untuk mengubah setiap individu rakyat berfikir, berdikari, melakukan perubahan kepada diri, keluarga, berkerjaya mampan, berpelajaran, berpendidikan dan turut memberi sumbangan bermakna kepada negara/negeri wajar difikirkan oleh pemimpin. Tugas ini terlebih sukar daripada menjemput orang datang makan dan bersantai.

Mengapa tidak peruntukan yang ada dan para dermawan menyokong dan mendirikan rumah anak yatim, menaja, membiayai dan membantu persekolahan mereka termasuk anak-anak orang fakir dan miskin? Setidak-tidaknya menyalurkan zakat untuk membantu menyelesaikan aspek ekonomi dan sosial kumpulan yang disebut miskin tegar.








Thursday, October 01, 2009

Mathematics

1 x 8 + 1 = 9
12 x 8 + 2 = 98
123 x 8 + 3 = 987
1234 x 8 + 4 = 9876
12345 x 8 + 5 = 98765
123456 x 8 + 6 = 987654
1234567 x 8 + 7 = 9876543
12345678 x 8 + 8 = 98765432
123456789 x 8 + 9 = 987654321

1 x 9 + 2 = 11
12 x 9 + 3 = 111
123 x 9 + 4 = 1111
1234 x 9 + 5 = 11111
12345 x 9 + 6 = 111111
123456 x 9 + 7 = 1111111
1234567 x 9 + 8 = 11111111
12345678 x 9 + 9 = 111111111
123456789 x 9 +10= 1111111111

9 x 9 + 7 = 88
98 x 9 + 6 = 888
987 x 9 + 5 = 8888
9876 x 9 + 4 = 88888
98765 x 9 + 3 = 888888
987654 x 9 + 2 = 8888888
9876543 x 9 + 1 = 88888888
98765432 x 9 + 0 = 888888888

Brilliant, isn't it?

And look at this symmetry:

1 x 1 = 1
11 x 11 = 121
111 x 111 = 12321
1111 x 1111 = 1234321
11111 x 11111 = 123454321
111111 x 111111 = 12345654321
1111111 x 1111111 = 1234567654321
11111111 x 11111111 = 123456787654321
111111111 x 111111111 = 12345678987654321

Now, take a look at this... 101%

From a strictly mathematical viewpoint:

What Equals 100%?
What does it mean to give MORE than 100%?

Ever wonder about those people who say they are giving more than 100%?

We have all been in situations where someone wants you to
GIVE OVER 100%.

How about ACHIEVING 101%?

What equals 100% in life?

Here's a little mathematical formula that might help
answer these questions:

If: A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z

Is represented as:

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21 22 23 24 25 26.


If:
H-A-R-D-W-O- R- K

8+1+18+4+23+ 15+18+11 = 98%

And:
K-N-O-W-L-E- D-G-E

11+14+15+23+ 12+5+4+7+ 5 = 96%

But:
A-T-T-I-T-U- D-E

1+20+20+9+20+ 21+4+5 = 100%

THEN, look how far the love of God will take you:


L-O-V-E-O-F- G-O-D


12+15+22+5+15+ 6+7+15+4 = 101%

Therefore, one can conclude with mathematical certainty that:

While Hard Work and Knowledge will get you close, and Attitude will
get you there, It's the Love of Allah that will put you over the top!

It's up to you if you share this with your friends & loved ones just
the way I did..

Have a nice day & Allah bless!!

Forward by friend