Institusi latihan di seluruh negara khususnya di bawah Kementerian Sumber Manusia atau Kementerian Belia dan Sukan atau Kementerian Pengajian Tinggi atau mana-mana Yayasan wajar berperanan menjejaki atau mengesan mereka dengan bantuan Kementerian Pelajaran memberi latihan separa mahir atau bertaraf semi profesional walaupun mungkin mereka tidak mempunyai kelulusan yang setaraf seperti mana memasuki kolej atau universiti. Semua statistik atau data mesti diselaraskan secara berkesan. Kajian mereka yang tercicir dari seluruh negara mesti ditangani segera.
Kelulusan mahupun umur untuk memasuki institusi ini mesti dikaji semula, asalkan mereka dapat diberi peluang meneruskan pengajian formal bersifat sepanjang hayat dengan sokongan atau bantuan kewangan dari pelbagai jabatan dan pihak.
Jika semua institusi latihan hendak mengejar status universiti atau kolej berprestij, mereka yang diangap 'malas' belajar ini akan tersisih dan mereka akan terputus pendidikan formal atau 'life long education' dan mempunyai kerjaya dan kehidupan yang sesuai dengan keadaan semasa.
Kita mesti memikirkan agar semua belia dan pelajar yang dinyatakan tidak tertinggal menerima pendidikan formal mahupun pendidikan teknik, vokasional dan kemahiran, terutama yang sudah tidak berminat belajar aliran akademik.
Mereka masih muda yang memerlukan pembelaan semua pihak. Latihan kemahiran sewajarnya sejajar dengan keperluan semasa industri atau berdaya saing masa hadapan mahupun untuk bekerja di mana-mana sahaja di dunia ini.
Jika mereka semuanya berada di pusat-pusat atau kem latihan dalam jangka masa tertentu, tidaklah mereka kelihatan berlambak-lambakan di tempat-tempat yang tidak sepatutnya dengan membuang masa tanpa berfaedah atau sia-sia.
Kesimpulannya, latihan kemahiran adalah latihan motivasi mereka, apatah lagi jika mereka didorong dan dibimbing untuk berkerjaya secara profesional, maka mereka akhirnya boleh memberi sumbangan kepada keluarga, masyarakat, negeri dan negara. Mereka tidak akan menjadi beban kepada negeri dan negara, walaupun apa yang disarankan ini akan memungkinkan sesebuah jabatan terpaksa mengurus bajet yang bertambah.
No comments:
Post a Comment