Thursday, September 24, 2009

Sultan dan Politik

Dilaporkan di dada akhbar arus perdana, Sultan Pahang menyeru dan merayu agar rakyat negeri Pahang terus menyokong kerajaan BN. Baginda bertitah, rakyat sewajarnya bersama kerajaan BN untuk agenda penerusan pembangunan sosial, ekonomi dan pendidikan. Alasannya, kerajaan BN telah banyak berjasa dan memberi faedah kepada rakyat.

Aku merasakan di dalam keadaan UMNO dan parti-parti komponen BN yang rata-rata diselubungi dengan pelbagai masalah dalaman, tidak perlulah Sultan turut serta untuk berperanan aktif berkempen untuk BN. Kita berilah kepercayaan dan amanah kepada rakyat untuk memilih parti politik yang diinginkan dan menentukan nasib mereka sendiri.

Sultan sewajarnya menjaga institusi raja dan agama. Kita serahkan orang politik berbicara dan bermain politik.

Tuesday, September 22, 2009

Monday, September 21, 2009

Umat Islam Kemboja (Kampuchea)

Aku tersentuh, hiba, sedih dan amat simpati ketika melayari beberapa laman web NGO dan membaca beberapa makalah, artikel mengenai kedudukan umat Islam di Kemboja.

Umat Islam yang kini dianggarkan sejumlah 700,000 orang (4% daripada keseluruhan penduduk) ternyata teramat mundur dan miskin ekoran kehancuran, kemusnahan yang dilakukan oleh kerajaan Pol Pot (Khmer Rouge).

Ramai para ilmuan Islam( ulama dan ustaz) dibunuh dan tempat-tempat ibadat (masjid), sekolah, kawasan penempatan serta ekonomi turut musnah.

Akibatnya, generasi baru mereka terjerumus dalam kancah kemiskinan dan tiada ilmu pengetahuan Islam dan kemahiran untuk menyambung kehidupan lebih sempurna.

Demi untuk mempertahankan aqidah dan taraf hidup umat Islam Kemboja, rayuan derma dan bakti anda amatlah diperlukan untuk membangunkan aktiviti berikut:-

i. Pengajian Agama di setiap kampung di seluruh Kemboja
ii. Melawat sendiri ke Kemboja untuk meninjau dan memberi bantuan bagi mengurangkan kesusahan mereka. Sumbangan boleh disalurkan di dalam bentuk wang tunai, barangan makanan, buku agama, Al-Quran, menaja penuntut belajar dan sumbangan kepada pembinaan dan peralatan masjid.
iii Pembinaan madrasah dan universiti Islam bagi membangunkan pendidikan umat Islam di negara ini.

Aku difahamkan ketika ini, Mufti Kemboja dan Presiden Pembangunan Islam Kemboja, merangkap Menteri Buruh dan Vokasional, Othsman Hasan melawat Malaysia memohon bantuan kerajaan Malaysia dan individu Islam bagi melaksanakan impian meningkatkan ilmu pengetahuan, taraf hidup dan ekonomi umat Islam di negara ini.

Friday, September 18, 2009

Salam Aidil Fitri





Assalamualaikum, kepada semua kaum muslimin dan muslimat di mana jua anda berada, yang lama dikenali atau baru sahaja berkenalan, khususnya, jiran dan teman-teman di sekitar Bandar Puncak Alam, Saujana Utama, Desa Subang Permai, TTDI, Jaya, Shah Alam, di Kg. Bukit Hijau, dan kampung di sekitarnya.

Begitu juga kepada kaum kerabat, sanak saudara yang jauh dan dekat, terutama di Kg. Bukit Hijau dan Sg. Nerek, Chenor, Mentakab.

Tidak dilupakan teman-teman pelajar di seluruh UK terutama di Manchester, dan di University of Hull, terutama Presiden kelab dan barisan AJK Melayu Hull, teruskan perjuangan anda dan sentiasa bersemangat menghadapi apa jua ujian dan rintangan yang mendatang.

Tidak dilupakan juga kepada rakan-rakan sekolah dan universiti yang masih ingat bersekolah di Sekolah Sultan Abdul Aziz, Kuala Selangor (1974-1979), Sek. Agama Men. Tinggi Hisamuddin, Klang (1980-1981), dan di UKM (1982-1986), Kolej Dar al-Hikmah, Sg. Ramal, Kajang (1995) UM (1998 & 2001-2003).

Kepada para pengunjung blog ini, anda semua teruskan aktiviti anda dan sentiasa menyokong penerusan kelangsungan semua blog dengan komen atau idea yang membina. Eratkan silaturrahim sesama kita.

Kepada keluarga, pengunjung, sahabat, rakan blogger, teman sepejabat di Kuala Lumpur dan di seluruh negara, kiriman melalui blog sebagai pengganti diri. Dengan ingatan tulus ikhlas, Eid Mubarak, Maaf Zahir dan Batin. Ngaturraken sedhoyo lepatan kulo same dingapuro ngeh. Semoga kita dapat bertemu di Ramadan tahun hadapan. Sesiapa yang ingin menghubungiku, bolehlah 'dial my number' 013 2087361.

Daripada Razali, Rokimah, Fathul, Nahdia, Nashrul, Hakim dan Hidayat

Monday, September 14, 2009

Royalti Minyak

Kerajaan Kelantan menuntut royalti minyak berjumlah RM1 bilion, namun kenyataan daripada Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, permohonan Kelantan masih di peringkat kajian kerana alasannya, kawasan minyak yang dijumpai itu berada di zon antarabangsa dan Perdana Menteri turut melaporkan pada 1 Ogos lalu, proses kajian mendalam wajar dilakukan kerana melibatkan kawasan bertindih.

Menurut Awang Adek Hussin juga, telaga minyak terletak jauh dari pesisir pantai Kelantan.

Kerajaan Kelantan menuntut tunggakan royalti adalah sejak 2004.

Sikap kerajaan Persekutuan

1. Sentiasa melengah-lengahkan tuntutan apabila kerajaan diperintah oleh parti pembangkang, seperti yang terjadi di Sabah dan Terengganu.

2. Kerajaan Pusat berhak dan dianggap sesuai dan amat tetap membelanjakan wang daripada hasil minyak untuk pembangunan seluruh negara dan tidak hanya tertumpu untuk kegunaan sesuatu negeri tertentu.

3. Alasan yang pelbagai diberi bagi menyelesaikan tuntutan tersebut, namun hakikatnya, tiada kesungguhan dan kajian mendalam dilaksanakan segera.

4. Kerajaan Pusat menuduh kerajaan Kelantan tidak berhak menuntut royalti kerana royalti minyak bukan milik negeri sebagai kenyataan Menteri MITI, Datuk Mustapa Mohamed, semasa pilihananraya kecil Manek Urai.

5. Petronas wajar bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan yang sebenar dan bukan bermain politik.



Saturday, September 12, 2009

Falsafah Ramadan

Bulan Ramadan ialah bulan tarbiyah jiwa; untuk membina jiwa sensitif dengan Islam dan memperjuangkannya sebagai matlamat dalam kehidupan.

Bulan Ramadan bukannya untuk bulan ibadat khusus semata-mata untuk memperolehi ganjaran pahala, namun hakikatnya, kita sewajarnya berfikir untuk sama-sama melahirkan keinsafan dan berusaha menjinakan hati agar peka dan insaf mengenai kehidupan masyarakat Islam dan berusaha bersedekah dan berzakat, membantu dari aspek kewangan dan lain-lainnya bagi meringankan bebanan hidup orang yang miskin dan seumpamanya.

Bulan Ramadan menuntut orang Islam peka tentang setiap ajaran Islam dan setiap diri berusaha untuk melatih diri reda dengan setiap sudut hukum Allah s.w.t; menuntut proses pembaikan dan perubahan diri.

Bulan Ramadan ialah bulan ilmu menuntut setiap orang Islam mempelajari ilmu-ilmu Islam dan dapat meningkatkan amalan sehingga orang bukan Islam mengakui kebaikan dan kehebatan Islam dari setiap sudut pelaksanaan amal-amal Islam.

Monday, September 07, 2009

TAZKIRAH

Di bulan Ramadan ini, program tazkirah amat menggalakkan di seluruh masjid dan surau di negeri Selangor.

Ramai ustaz menyampaikan kuliah/tazkirah dan kerap tajuk atau perbincangan adalah sama atau diulang-ulang.

Maka dicadangkan untuk memperbaikinya, pada tahun hadapan, satu modul untuk mempelajari isi kandungan Al-Quran wajar dirancang.

Semua ustaz tidak terkecuali penceramah bebas akan menyampaikan tajuk atau apa jua perbincangan berdasarkan modul yang disediakan.

Tujuan utama modul khusus yang dirancang adalah untuk memastikan wujudnya perkongsian ilmu, suatu pembentukan pemikiran yang sama untuk faedah semua ahli kariah; membimbing, mempelajari dan memahami Islam dalam konteks yang sebenar untuk kebaikan ibadat, pemantapan jiwa mereka dan proses meningkatkan kesedaran menuntut ilmu untuk pembangunan kehidupan umat dan manusia sejagat, di samping mempunyai hubungan toleransi beragama.