Tuesday, October 08, 2013

Laporan Audit Negara 2012 - Kolej Univesiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)

Kerajaan Negeri sememangnya maklum dengan kedudukan kewangan Kolej Univesiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) yang lemah serta keperluan untuk mengemaskini urustadbir kolej tersebut sepertimana yang dinyatakan di dalam Laporan Audit Negara 2012. Sehubungan itu beberapa langkah telah dikenal pasti untuk membantu KUIS agar keluar dari masalah kewangan yang ditanggung sejak 2010 yang lalu.
Syarikat milik penuh kerajaan Selangor, Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) telah diminta untuk mengkaji situasi KUIS dan berbincang dengan pihak pengurusan serta pihak-pihak berkenaan mengenai bentuk bantuan yang boleh diberikan termasuk menyalurkan dana kepada Kolej Univesiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) yang menanggung kerugian sebanyak RM11.30 juta pada 2011.
KPS sedang dalam perbincangan dengan pemilik tunggal KUIS iaitu Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan hasil perbincangan mendapati KUIS memerlukan sekurang-kurangnya RM238 juta bagi memulihkan kewangan KUIS. Dana ini termasuk bayaran berjumlah RM152 juta untuk sekali bayaran (one off payment) kepada syarikat pemegang konsesi; Redha Resources Sdn. Bhd. (RSSB) manakala dana selebihnya pula akan digunakan untuk menaik taraf kemudahan pendidikan di KUIS seperti perpustakaan, dewan kuliah, asrama dan penyelenggaraan bangunan.
RSSB telah diberikan konsesi selama 33 tahun pada 2005 oleh kerajaan Barisan Nasional di bawah pentadbiran mantan Menteri Besar, Dr Mohd Khir Toyo. Sekiranya one off payment ini tidak dibuat, KUIS terpaksa membayar lebih RM19 juta setahun kepada RSSB selama 33 tahun yang mencecah RM600 juta. Setakat ini, KUIS telah membayar sebanyak RM50 juta kepada RSSB.
Seperti yang dinyatakan dalam Laporan Audit Negara, kerugian ini disebabkan proses penyusunan semula KUIS melalui pembangunan secara Build Operate and Transfer (BOT) apabila terpaksa mula membayar sewa asrama dan bangunan kepada RSSB mulai 2009. Pada tahun 2011, tanggungan terhadap konsesi tersebut merupakan 14% dari keseluruhan kos operasi KUIS.
Ironinya, KUIS dikehendaki membayar kos sewaan asrama berdasarkan penginapan 100 peratus dan 300 hari kalendar akademik meskipun kadar penginapan pelajar tidak pernah mencapai kadar 100 peratus dan kalendar akademik adalah kurang dari 280 hari.
RRSB ialah sebuah syarikat yang dikuasai oleh Sulaiman Abdul Razak, seorang pemimpin Umno Selangor yang juga ADUN Permatang. Beliau memiliki saham sebanyak 7,200,000 saham bersamaan 51% pegangan di dalam RRSB, sementara isteri beliau, Jamaliah Kamarudin pula memiliki 800,000 saham bersamaan 6% pegangan. Baki 43% pegangan dimiliki oleh Bina Puri Holdings Bhd iaitu syarikat sub-kontraktor yang menjalankan sepenuhnya operasi pembinaan dan penyenggaraan asrama.
RRSB disokong sepenuhnya oleh Kerajaan Selangor di bawah Barisan Nasional ketika itu. Malah Khir Toyo menjadi saksi pemeteraian perjanjian pinjaman sebanyak RM125.8 juta di antara MAIS, RRSB dan bank-bank pembiaya pada 3 Ogos 2007 untuk membiayai pembinaan asrama pelajar KUIS ini. MAIS turut bertindak sebagai Penjamin dengan memberi jaminan kepada bank-bank jika KUIS gagal membuat bayaran kepada pemegang konsesi; RSSB.
Kontrak pembinaan ini kemudiannya diberikan kepada Bina Puri Holdings Bhd dengan RRSB hanyalah menjadi orang tengah. Dengan kos RM125.8 juta ini, RSSB diberi konsesi sehingga tahun 2039 dengan menerima bayaran keseluruhan mencecah RM600 juta.
KUIS adalah contoh bagaimana pimpinan UMNO-BN mengambil kesempatan sepenuhnya dari dasar memperniagakan pendidikan; akibatnya ditanggung oleh pelajar dan ibubapa kerana terpaksa membayar yuran pengajian dan kos asrama yang tinggi manakala pentadbiran KUIS terpaksa mengabaikan kepentingan lain demi mengawal kedudukan kewangan dari terus menjunam.
Disebabkan ‘kesilapan’ pemimpin terdahulu memilih pembangunan secara BOT dan menandatangani perjanjian konsesi yang berat sebelah, kerajaan Selangor Pakatan Rakyat di bawah pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim terpaksa mencari jalan menyelamatkan sebuah institusi pendidikan kebanggaan rakyat Selangor.
Kerajaan sedang berusaha untuk mengambilalih semua kos prasarana dan infrastruktur Kolej dan Universiti milik negeri Selangor agar pentadbiran Universiti dan Kolej tidak dibebankan dengan kos tersebut tetapi hanya mengurus kos operasi harian. Dengan cara ini dijangkakan institusi tersebut akan dapat lebih menumpu kepada mutu pendidikan dan pembelajaran.

FAEKAH HUSIN
SETIAUSAHA POLITIK KEPADA
YAB DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Friday, September 20, 2013

Pengalaman Cuti Pulau Redang

Sudah lama tidak bercuti dengan keluarga.  Walaupun kerja banyak di pejabat, namun cuti rehat masih belum cuba dihabiskan, ambillah masa berkualiti bercuti dengan anak-anak.

Tempahan awal, walaupun agak lewat juga, kami dapatkanlah juga Air Asia dan berlepas ke Sultan Mahmud Airport Kuala Terengganu pada hari Rabu 18 September 2013, jam 11.35 pagi dari LCCT menaiki pesawat AK6228 dengan economy promo, seramai tujuh (7) orang dengan kos RM870.60.

Kami dari rumah menaiki LRT dari Taman Melati ke KL Sentral dan kemudian menaiki bas Aerobus Wawasan Sutera Travel & Tours Sdn. Bhd. dengan tambang RM2.30 (LRT) dan RM10.00 seorang.
Tambang bas ini daripada LCCT ke KL Sentral, pula kurang RM2.00 iaitu RM8.00. Tambang teksi pula bila sampai di Kuala Terengganu perlulah belanja RM25.00 untuk satu teksi.

Kami keluar pagi, lebih kurang jam 7.00 pagi dan sampai di LCCT jam 9.25 pagi dan sarapan dahulu di cafe di LCCT.

Kami menempah pakej tiga (3) hari, dua (2) malam dengan harga weekday RM270.00 seorang di Redang Lagoon Chalet yang dimiliki oleh seorang Cina Islam dari Sg. Petani. Harga ini termasuklah penginapan, makan, snorkeling tiga (3) kali; termasuk di open sea (jangan bimbang kita akan terapung sebab pakai jaket keselamatan), perkhidmatan feri dari Jeti Syahbandar, Kuala Terengganu. Saya difahamkan kalau untuk orang kampung satu hala sahaja RM25.00 seorang. Kalau weekend pakej itu ditambah RM20.00 seorang, manakala public/school holidays ditambah lagi RM40.00. Semasa di jeti itu, apabila kami sampai, kaunter tiket feri hanya dibuka selepas jam 2.00 petang untuk trip feri jam 3.00 petang (last trip) dan kami juga perlu membayar RM5.00 untuk Marine Park ticket untuk dewasa, manakala kanak-kanak di bawah 12 tahun, RM2.00. Pakej termasuk juga satu (1) BBQ pada hari pertama, yang disediakan ikan kecil, sotong dan ayam untuk dibakar sendiri dengan dibantu oleh seorang pekerja chalet. Sebuah surau turut disediakan untuk solat atau munajat kerana tempat ini amat sunyi dari gangguan manusia atau kenderaan, hanya kedengaran ombak laut yang menderu.

Kalau ada masa kelapangan datanglah lebih awal pada hari pertama dengan mengambil boat ride dari Jeti Merang atau Syahbandar pada jam 9.00 pagi trip terawal ke Pulau Redang dan boleh menikmati snorkeling pada jam 2.30 petang, selepas makan tengah hari. Kami terlepas pada hari pertama, hanya dapat snorkeling pada hari kedua iaitu pada jam 9.30 pagi dan 2.30 petang.

Tempat yang saya menginap ini, adalah chalet yang termurah berbanding dengan resort yang lain dan makanannya gaya orang kampung Melayu sahaja, insyaAllah dijamin halal, walaupun tukang masaknya dari Pulau Madura, Indonesia, orang Islam yang menutup aurat. Tak tahulah saya, orang putih boleh lalu makan atau tidak.

Bilik chalet, biasalah tiada almari/kotak simpanan barang berharga atau minuman. Kalau boleh belilah di Kuala Terengganu/Merang air mineral sebab di dalam bilik chalet tidak ada ceret untuk masak air panas.

Peralatan snorkeling perlu disewa iaitu mask dan jaket keselamatan kesemuanya RM20.00 setiap seorang. Amat seronok boleh melihat ikan dari jarak teramat dekat, bahkan di tepi pantai sahaja airnya cukup jernih kebiru-biruan dan apabila diberi roti, pelbagai jenis ikan akan menggigit roti atau tangan kita. Ikan di sini tidak boleh ditangkap antara jarak dua (2) kilometer daripada pantai dan sesiapa yang ditangkap akan dikenakan denda.

Waktu balik hari ketiga, sebelum minum pagi, saya sempat berbual dengan pemilik chalet dan beliau telah mengusahakan chalet ini melebihi 30 tahun dan beliau seorang Cina Muslim yang simple. Beliau mempunyai 60 bilik daripada quad sharing, triple sharing, dan twin sharing.

Pantai Pulau Redang, pasirnya halus dan putih, bersih dan kawasannya dijaga. Haji Haris memberitahu saya, sampah akan dikumpulkan dan dibawa ke tanah besar oleh sebuah syarikat yang memperolehi kontrak daripada kerajaan. Chalet beliau perlu membayar RM2,000.00 sebulan. Kontraktor akan mengambil sampah dua (2) kali sekali.

Balik terlampau letih kerana perlu check out jam 9.30 pagi dan jam 10.30 pagi perlu menunggu feri ke tanah besar yang akan bertolak jam 11.00 pagi. Memandangkan kami mengambil flight yang agak lambat, yang terakhir dan lebih murah sikit, touch down di LCCT pada jam 11.50 malam dan sampai di rumah sudah hampir 1.15 pagi. Dari KL Sentral kami mengambil teksi tanpa guna meter dan perlu membayar RM40.00 sebuah setelah berunding minta kurang daripada yang biasa RM45.00.


Sunday, September 15, 2013

Businessman/Pelaburan Vs makan Gaji (employee)

Pembangunan ekonomi Melayu dan Bumiputera sukar terlaksana dan tercapai peratusan sasaran memandangkan sebahagian besar masyarakat ini hanya melibatkan diri dengan kerjaya makan gaji (pekerja semata-mata) dan bekerja sendiri (self employed-secara kecilan).

Angka ini meliputi secara mudah melebihi 90% daripada kelompok tersebut. Bolehlah disebutkan hanya di bawah 10% orang Melayu & Bumiputera yang dikelompokkan sebagai usahawan (busineesman ) dan pelabur (sama ada terlibat dengan pelaburan saham, emas atau hartanah). 

Dengan perkataan lain orang Melayu (Islam) tidak memiliki ilmu berniaga dan tidak terkucuali tiada punya kemahiran dan kepakaran ini. Selama mana kita masih mengharapkan orang lain dan tidak mampu berdikari dan tidak dapat menggabungkan diri dlm konsortium besar (dan melaksanakan tanggungjawab dengan integriti), makan masa lagi untuk dapat orang Islam khususnya menguasai ekonomi dan berpendapatan selesa. 

Kerja dakwah dan tarbiyah bahkan untuk menarik orang Cina dan bukan Islam yang lain kepada mempercayai agama Islampun dan memeluk Islam sukar dicapai kerana persepsi orang Islam miskin dan terlibat dengan memperkayakan diri sendiri dengan kelebihan naungan politik yang diberi kepada sebilangan kecil korporat Melayu. 

Orang politik dan pemimpin dalam parti yang memperjuangkan Islam, mestilah menyedarinya hakikatnya bukan orang Islam yang menguasai ekonomi negara ini.

Maka, pengajaran yang saya  ingin kongsikan ialah khususnya para pendakwah mesti tergolong dalam rangka membangunkan kerjaya di dalam kelompok businessman dan pelabur. Kita perlu ingat hendak menjadi ahli perniagaan dan pelabur tidak semestinya perlu modal yang banyak. Perolehi ilmu dan mentor yang betul untuk membimbing arah atau sasaran yang ingin dicapai. 

Ubahlah minda daripada terkongkong dengan ungkapan saya yang menurut perintah dan senang makan gaji dan berusahalah untuk memikirkan langkah bersara daripada makan gaji. Saya sedang dalam proses membuat keputusan ini. Yang lain ada berani?

Thursday, June 06, 2013

Berfikir

Apa yang sedang kita fikirkan?
Bila kita berfikir?
Mengapa kita berfikir?
Siapa pula berfikir?
Di mana kita berfikir?
Bagaimana berfikir dengan baik?

Persoalan yang saya bangkitkan ini, jika kita semua sentiasa berfikir untuk kebaikan, manfaat untuk diri, keluarga dan masyarakat secara keseluruhannya, insyaAllah jiwa ini sentiasa pasrah, reda, ikhlas dengan apa yang kita miliki dan semua boleh bekerjasama dan tidak menjurus berkepentingan diri.

Maka, marilah kita berfikir secara rasional, berakhlak dan tidak emosional untuk mencapai hasrat kebaikan semua.

Saturday, May 04, 2013

UNDILAH PAKATAN RAKYAT

PRU ke 13, untuk perubahan kerajaan baru daripada Pakatan Rakyat.

Rakyat inginkan kerajaan yang lebih telus, beramanah dan urus tadbir yang baik.

Rakyat ingin memastikan kehidupan selesa, terbela dan tiada dibebankan dengan cukai dan harga barang dan perkhidmatan tidak cekap.

Rakyat ingin berubah. Ini kalilah!

Thursday, April 04, 2013

Melayu Islam dan Agama

Ceteknya ilmu agama umat ini,

Ditambah kurangnya amalan ibadat harian,

Ramai tidak menyedari persahabatan sesama Islam,

Urusan peribadi dan perkhidmatan berasaskan wang,

Keikhlasan perjuangan dipinggirkan,

Musim pilihanraya tiba,

Taburan janji disemai,

Taraf ekonomi ramai yang miskin, walaupun negara kaya,

Sebab tiada kecekapan berfikir,

Pemimpin menginginkan kemegahan dan kemewahan dengan jalan korup,

Rakyat kebanyakan hanya menjadi penonton setia dan alpa,

Bila lagi bangsaku ingin maju ke hadapan,

Ilmu tidak ditimba, amal ditangguhkan,

Bahkan akhlak disampingkan.

Friday, March 29, 2013

Ceroboh Nafsu

Ceroboh minda sepanjang masa
Ceroboh hati menjadi gundah dan berduka
Ceroboh kekuatan diri menjadi layu
Ceroboh emosi tidak tahan uji

Ceroboh pemikiran merosakkan keyakinan
Ceroboh roh hilang pertimbangan
Ceroboh fizikal, lemah segalanya
Ceroboh jiwa hilang maruah

Ceroboh akan diceroboh segalanya
Akhlak, pegangan dan hukum hakam
Hinggakan pupusnya iman dan pergantungan
Kerana nafsu buas inginkan kepuasan, menjaga keegoan dan kuasa

Friday, March 15, 2013

Kagum

Ada manusia merasa kagum terhadap kehebatan diri sendiri sehingga memandang rendah keupayaan orang lain.

Seseorang itu akan menjadi sombong, angkuh, bongkak dan megah.

Sifat demikian ini merupakan cita-cita dan kehendak nafsu dan hasutan iblis yang menyesatkan.

Agenda manusia yang lalai dan lupa ini boleh kita temui pada orang kaya yang tamak dan rakus, orang politik yang gilakan kuasa dan mabuk pengaruh dan orang yang miskin merasa diri dihargai, namun hakikatnya maruah diri dijual dengan tukaran harga benda yang murah.

Friday, January 11, 2013




Gambar kenangan semasa di SAAS, Kuala Selangor. Moga teman-teman yang masih ingat boleh berhubung untuk bersuai kenal semula.