Friday, May 28, 2010

KESERONOKAN MEMBERI

Lawatan kerja saya ke UPU Kg. Bukit Cherakah di Markaz Jalan Parit Deraman, pada hari Rabu, 26 Mei, 2010, bersamaan malam Khamis lepas, memberi saya peluang untuk mendengar taklimat gerak kerja pilihanraya daripada ketua UPU dan pengerusi JKKK; melahirkan wujudnya kerjasama yang amat erat di peringkat parti dan kampung.

Koordinasi pengurusan parti di satu pihak dengan pengurusan kampung di peringkat pentadbiran negeri berupaya mencetuskan idea perubahan dan pembelaan kepada komuniti setempat.

Amat menarik sekali, aktiviti bancian mengenalpasti berapa buah rumah dan penduduk dilakukan dengan mengkategorikan umur mereka seperti kelompok senior, peringkat umur 40an-50an dan 21 tahun ke atas. Bahkan direkodkan, rakyat warga emas yang uzur yang wajar didampingi, dibantu dan diberi pertolongan berterusan untuk mengurangkan bebanan kehidupan mereka.

Walaupun sebahagian besar rakyat masih asing dengan Ketua Kampung yang baru, mungkin tidak percaya atau yakin dengan perkhidmatan yang ditawarkan, tetapi aktiviti ziarah dan menyelesaikan masalah masyarakat merupakan tanggungjawab dan amanah ketika kuasa ada di tangan kita sekarang.

Pada saya, sudah selayaknya semasa kita diberi peluang memerintah, memanfaatkan cara pengurusan yang terbaik dan membuktikan keupayaan untuk menyelesaikan permasalahan masyarakat setempat. Bilakah lagi kita hendak laksanakan?

Keseronokan atau suka memberi tenaga, masa, pengorbanan wang ringgit, pertolongan atau perkhidmatan terutama membantu orang yang susah adalah diharapkan ganjaran dan persembahan kita kepada Pencipta, Allah s.w.t.

Kepada sesiapa yang masih sukar, tidak bersedia atau masih beralasan yang sendiri boleh sebut atau reka untuk tidak seronok memberi terutama menyelesaikan masalah kehidupan orang lain, ingatlah pesanan Rasulullah s.a.w., "orang yang paling baik di antara kamu, adalah yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain". Ini sesuai dengan tuntutan dan tujuan manusia menjadi khalifah adalah untuk melaksanakan tuntutan hablumminannas.

Kepada para pencinta keadilan, perjuangan menegakkan Islam, hindarkan diri kita daripada tabiat tidak memberi seperti bersedekah, zakat di samping tidak memberi masa kepada perjuangan Islam yang suci ini. Salah satu strategi mendampingi orang Melayu di kampung tradisional ialah dengan cara menyelesaikan permasalahan kehidupan mereka. Jika kita tidak lakukan ini, akhirnya, kita sendiri yang rugi.

No comments: