Sunday, March 14, 2010

PENGALAMAN

Sesiapapun mempunyai pengalaman manis mahupun pahit di dalam kehidupan ini.

Pengalaman-pengalaman tersebut mempunyai natijah atau pengajaran sama ada positif atau negatif mahupun pandangan atau persepsi positif atau negatif adalah bergantung kepada keupayaan individu tersebut berusaha bersungguh-sungguh menganalisa atau mengamati-amatinya.

Proses pengalaman pelbagai yang dilalui adalah sesuai dengan apa yang dilakukan atau dikerjakan oleh seseorang individu mahupun sesuatu ujian atau musibah yang ditimpa kepada manusia.

Apa yang penting ialah bagaimana kita mampu bersedia bertahan atau tetap melalui kehidupan seperti biasa walaupun mungkin pengalaman yang dilalui mengguris perasaan, menikam jiwa dan mengganggu pemikiran, terutama pengalaman pahit.

Kekuatan jiwa, pemikiran dan mempunyai keyakinan kepada qada dan qadar Allah menjadikan individu bersabar, bertenang, bersikap baik sangka kepada Pencipta dan terus menjalani kehidupan dengan tabah, reda dan penuh yakin untuk memperolehi matlamat atau kejayaan yang diidamkan.

Pengalaman adalah tambah nilai kehidupan yang kita harungi bagi menilai keupayaan kita untuk sentiasa berwaspada, muhasabah, menilai diri hubungan dengan Ilahi benar-benar mantap di samping berusaha gigih untuk mencipta perubahan dan memantapkan diri.

Pengalaman manis mendorong melonjakkan kejayaan diri, manakala pengalaman pahit juga sebagai pendorong untuk berwaspada dan boleh disifatkan untuk hidup lebih tabah dan turut membantu melonjakkan kejayaan diri.

Pengalaman yang susah diharapkan tidak akan menjadikan seseorang itu lupa bila dalam keadaan senang. Begitu juga jika kita dalam keadaan senang, jangan menjadikan seseorang itu akan lupa akan kesusahan yang menimpa orang lain.

Dipendekkan kata, jika kita tiada pengalaman yang pelbagai, bagaimana hendak hidup menjadi lebih matang dan berjaya.

No comments: