Tuesday, November 24, 2009

MENGURUS PERSEPSI

Hubungan manusia bertambah intim apabila wujudnya persefahaman, saling kasih menyasihi antara seseorang dengan seseorang yang lain. Perasaan saling menghormati di samping baik sangka akan menambahkan lagi kemesraan dan bantu-membantu ketika berlaku sesuatu musibah.

Walau bagaimanapun, amat sukar untuk kita mempunyai perasaan kekitaan apabila wujudnya persepsi yang negatif terhadap seseorang.

Mengurus persepsi bukannya mudah, apatah lagi dalam keadaan orang amat suka mendengar percakapan orang sehingga tergamak mengutarakan sesuatu rumusan pendapat, sikap atau pandangan terhadap orang lain.

Sudah sewajarnya kita jangan terpedaya atau terus percaya atau yakin dengan apa yang kita dengar tanpa membuat kajian atau menyiasat terlebih dahulu.

Perkembangan teknologi dan kepesatan media dewasa ini menuntut kita meneliti sesuatu yang berfakta dan tidak membawa elemen permusuhan, fitnah dan kemusnahan.

Kita sewajarnya berubah minda (cara berfikir) dan bertindak untuk kemajuan sejagat dan tidak sewajarnya memikirkan sesuatu yang boleh menghancurkan segala kebaikan yang dirancang, terutama insan yang bercita-cita untuk memajukan dunia ini sejajar dengan tuntutan Khalifah Allah.

Marilah kita mengurus perubahan dan mengurus realiti dan tidak lagi mempunyai sesuatu persepsi yang salah atau negatif, keliru terhadap proses hubungan kemanusiaan di atas dunia ini untuk selari dengan tugasan atau proses melakukan ketaatan dan kepatuhan kepada Pencipta.

Janganlah menghabiskan masa kita sekadar mengintai-intai sesuatu kelemahan atau kekurangan yang dimiliki oleh seseorang sehingga banyak masa dihabiskan untuk menilai fikiran manusia lain atau mempunyai tanggapan salah terhadap seseorang.

Kerja utama manusia yang beriman dan bertaqwa ialah mengajak orang lain bersama-sama kita. Walaupun mungkin mereka mempunyai persepsi yang salah terhadap pejuang kebenaran, namun persepsi yang salah mesti dirungkaikan.

Gunakan semua saluran komunikasi, media, kekuatan, kebolehan dan kebijaksanaan individu memperjuangan sesuatu yang benar.



Wednesday, November 04, 2009

TAULIAH

Sesiapapun yang berhajat untuk mengajar agama di mana-mana negeri di Malaysia, sememangnya wajar memohon tauliah.

Tauliah ialah hak kerajaan negeri masing-masing.

Aku menyokong sepenuhnya sesiapa yang ingin berbincang atau mengemukakan pandangan mengenai persoalan agama sewajibnya mengetahui keperluan tauliah, memohon izin.

Aku rasa bukan susah untuk memohon tauliah, jika kita sebenarnya layak, asalkan tidak memberi idea atau melontar pendapat yang mengelirukan atau hanya menimbulkan percanggahan, kecelaruan, perdebatan atau berkonfrontasi sehingga menambah kebimbingan, atau perselisihan pendapat yang akhirnya tidak membawa manfaat kepada proses pembinaan masyarakat.

Kekhuatiran timbul apabila, seseorang itu membawa pemikiran yang luar biasa yang terkeluar daripada kebiasaan, sehingga mengelirukan masyarakat kebanyakan.

Mereka yang tinggi ilmunya atau yang meminati perbincangan tinggi mengenai agama, selaras dengan keupayaan seseorang itu berfikir tidaklah mengapa, namun orang biasa sememangnya sukar untuk memahami, mengapa perlu diperbahaskan secara terbuka dan membawa idea-idea untuk dipaksakan di dalam masyarakat.

Masyarakat Islam di Malaysia rata-rata masih kurang kefahaman agama, tentunya mereka memerlukan bimbingan dan nasihat secara harmonis, dan bukannya perbincangan ilmiah dan tinggi sehingga menyukarkan orang ramai untuk meyakininya.

Aku tidak bermaksud tidak berminat membincangkan permasalahan ilmu dan masyarakat secara ilmiah, namun mereka yang hendak menengahkan idea atau pandangannya mesti memahami norma, budaya, nilai masyarakat dan tindakan mereka patut dikawalselia.

Aku bersetuju agar tauliah diberi kepada para ilmuan, namun para ilmuan mesti sedar mengikuti prosedur yang telah ditetapkan agar mereka lebih bertanggungjawab.

Sukarkah untuk mengikut kaedah yang telah ditetapkan?

Bertindaklah mengikut saluran yang betul.


Sunday, November 01, 2009

IBADAT HAJI

Ketika ini sebilangan besar jemaah haji sedang sibuk membuat persiapan untuk ke tanah suci.

Beberapa penerbangan telahpun berlepas.

Ada teman-temanku dan termasuk jiranku terdekat, Rahman yang bekerja di Perodua, Rawang turut terpanggil ke Makkah kali ini.

Mereka kesemuanya telahpun mengadakan kenduri kesyukuran dan doa selamat.

Semuanya dalam keadaan 'last minute or 'last call', semacam kelam kabut kali ini.

Aku difahamkan urusan visa haji diurus oleh kedutaan dengan menggunakan passport antarabangsa yang biasa.

Apa-apa karenah birokrasi tidak akan melemahkan semangat tetamu Allah pada kali ini.

Aku sempat berhubung dengan mereka semuanya dan didoakan semuanya sihat walafiat, dapat menunaikan ibadat dengan sempurna dan dapat berdoa untuk kebaikan diri, keluarga serta umat Islam seluruhnya.

Kupinta semuanya memperolehi haji yang mabrur.

Aku berdoa semoga aku dapat kembali semula. Kerinduanku kepada Baitullah, hanya Allah sahaja yang tahu.